
KOTA BHARU: Kerajaan pusat yang diterajui Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) digesa tidak meminggirkan pembangunan dan kebajikan rakyat di semua negeri di Malaysia, walau pun berbeza ideologi politik.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan baharu perlu mengambil kira pendekatan atau konsep federalisme supaya penekanan dapat diberi di peringkat negeri serta pusat.
Menurutnya, kerajaan persekutuan perlu mengutamakan semangat federal (persekutuan) dan negeri-negeri tidak boleh diabaikan walau berbeza ideologi politik.
“Perbezaan ideologi politik tidak boleh dijadikan sebagai halangan atau sebab kesemua negeri tidak dapat dibantu,” katanya pada sidang media sempena majlis kesyukuran Parlimen Kota Bharu, di sini, hari ini.
Sementara, mengulas tentang cadangan Pilihan Raya Negeri (PRN) dibuat sebelum musim haji beliau berkata, perkara itu di bawah bidang kuasa negeri masing-masing.
“Kuasa untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah kuasa Sultan selepas mendapat nasihat daripada Menteri Besar.
“Seperti kita tahu, PAS ada empat negeri dan kita akan mempertimbangkan banyak faktor sebelum keputusan dibuat.
“Bagaimanapun, kita akan mengambil kira semua pandangan sebelum memutuskan tarikh PRN,” katanya.
Sehingga sekarang, enam negeri yang masing-masing belum mengadakan PRN secara serentak dengan PRU15 peringkat parlimen terdiri daripada Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang. – HARAKAHDAILY 1/12/2022




















