Bantuan zakat khas MAIWP-Insani santuni asnaf

Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar (depan, tengah). (FOTO: MAIWP)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kegetiran yang dihadapi oleh rakyat terutama golongan asnaf telah menarik perhatian pihak MAIWP dengan mengambil tindakan proaktif dengan menyalurkan bantuan zakat khas MAIWP-Insani kepada golongan asnaf yang tinggal di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

- Advertisement -

Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, berkata kemampuan untuk menyediakan peruntukan yang besar telah berjaya dilaksanakan oleh MAIWP adalah hasil daripada komitmen para pembayar zakat di Wilayah Persekutuan dan luar Wilayah Persekutuan. 

Bermula Januari hingga Oktober 2022, MAIWP telah mengagihkan RM700 juta dana zakat menerusi bantuan secara langsung dan bantuan secara tidak langsung kepada golongan asanaf yang memerlukan. 

Beliau memberitahu ketika pembentangan bajet MAIWP 2023 yang yang berlangsung di Dewan Seminar, Bangunan PERKIM, Kuala Lumpur tadi, seramai 30 ribu orang penerima bantuan kewangan bulanan menerima bantuan zakat khas RM1,000 seorang.

“Agihan perbelanjaan melibatkan jumlah sebanyak RM30 juta, di mana RM250 telah diberikan pada bulan Ogos 2022.

“Sementara baki sebanyak RM750 pula akan diberikan pada bulan Disember 2022,” jelasnya.

Katanya lagi, seramai 36,750 anak-anak asnaf penerima bantuan am persekolahan akan menerima zakat khas sebanyak RM200 seorang dengan melibatkan perbelanjaan oleh MAIWP sebanyak RM7.37 juta.

Seramai 6,600 orang penerima bantuan am pelajaran ke institusi pengajian tinggi, akan menerima zakat khas sebanyak RM500 seorang dengan melibatkan perbelanjaan MAIWP sebanyak RM3.3 juta.

Mohd Daud turut memberitahu bantuan zakat khas juga akan disalurkan kepada pelaksanaan aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh pelajar-pelajar asnaf. 

MAIWP juga akan menambahbaik kemudahan infrastruktur bagi sekolah rendah dan menengah, Kelas Al-Quran & Fardu Ain (KAFA), dan tahfiz di seluruh Wilayah Persekutuan.

“Sebanyak 530 buah institusi akan menerima RM30,000 bagi seriap institusi dengan melibatkan pengeluaran perbelanjaan sebanyak RM15.9 juta,” ujar beliau.

Bantuan khas tabung kebajikan hospital turut ditubuhkan bagi menampung kos-kos rawatan golongan asnaf di 15 buah hospital dengan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM950,000. 

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pembayar zakat melalui Pusat Pungutan Zakat MAIWP kerana dengan zakat anda, MAIWP mampu melaksanakan amanah membantu mereka yang memerlukan,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/11/2022

- Advertisement -