Presiden PAS hargai rakyat pilih PAS dan PN

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah yang telah menganugerahkan kemenangan selesa pada PAS dan PERIKATAN NASIONAL dalam Pilihan Raya Umum kali ke 15 ini berdasarkan keputusan tidak rasmi.

- Advertisement -

Tahniah saya ucapkan kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat dalam memilih kepimpinan negara. 

Saya mewakili Parti Islam Se-Malaysia PAS ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pengundi yang telah meletakkan kepercayaan kepada PAS dan rakan gabungan di dalam PERIKATAN NASIONAL terutamanya kepada pengundi-pengundi muda undi awal yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang. 

Terima kasih kepada pengundi luar daripada perantauan yang telah mengharungi perjalanan jauh walaupun terdapat kekangan masa dan kewangan serta pelbagai masalah lain bagi memastikan kerajaan PERIKATAN NASIONAL mendapat mandat pada PRU kali ini. 

Pengorbanan anda di dalam berpusu-pusu untuk balik mengundi akan diberikan ganjaran yang setimpal daripada Allah S.W.T. 

Terima kasih kepada seluruh jentera pilihan raya kali ini yang terdiri daripada pelbagai agensi di dalam negara dan sukarelawan-sukarelawan.

Kemenangan ini adalah hasil kerjasama semua kalangan ahli-ahli PAS dan rakan-rakan di dalam PERIKATAN NASIONAL yang bekerja keras semenjak daripada awal lagi. 

Saya mewakili seluruh kepimpinan parti merakamkan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah memberi kepercayaan kepada PAS dan PERIKATAN NASIONAL untuk mentadbir negara sekali lagi. 

Kami akan berusaha sedaya upaya sebaik mungkin melaksanakan tawaran-tawaran yang telah dijanjikan dan meneruskan agenda Wawasan Induk Negara Sejahtera 2051. 

InsyaAllah kami akan bincang dengan rakan-rakan PERIKATAN NASIONAL dalam membentuk Kabinet dan kerajaan yang kita terajui semoga Allah mengurniakan ganjaran yang selayaknya kepada semua yang telah menyumbang kepada kejayaan PRU15 ini.

TAN SRI DATO’ SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS HARAKAHDAILY 19/11/2022

- Advertisement -