
TARIKH pengundian PRU15 berbaki 2 hari lagi, PAS Perak telah membina ikatan awal dalam PERIKATAN NASIONAL sejak awal penubuhan.
Hasil gabungan kukuh itu telah berjaya membentuk pasukan yang mantap dan berstrategi bagi mencapai impian memimpin Negeri Perak.
Menyedari bahaya penguasaan DAP melalui Pakatan Harapan, Gabungan dalam PERIKATAN NASIONAL Perak telah meletakkan semua calon di semua 59 DUN dan 24 Parlimen.
Usaha ini adalah bukti kesungguhan persediaan PERIKATAN NASIONAL menawan Negeri Perak.
PAS Perak juga menyedari pengaruh Umno Barisan Nasional di kerusi Melayu dalam Negeri Perak.
PERIKATAN NASIONAL Perak telah memberi tumpuan khusus terhadap 40 kerusi dominan Melayu.
Menyedari kecenderungan Umno pimpinan DS Zahid Hamidi membawa Umno bersama PH melalui beberapa kenyataan media dan dokumen yang didedahkan, PAS bersama PERIKATAN NASIONAL akan memastikan semua kerusi dominan Melayu akan dikuasai PERIKATAN NASIONAL.
Gelombang kesedaran pengundi begitu tinggi menyokong PERIKATAN NASIONAL khususnya di Negeri Perak.
Ia kesan langsung dari kesedaran kekecewaan terhadap janji palsu Pakatan Harapan serta pengalaman 22 bulan pemerintahan PH khususnya di Negeri Perak yang penuh dengan kerosakan nilai perpaduan, mengganggu sistem akhlak dan moral serta kegagalan ekonomi dan juga agama.
Penolakan terhadap Umno dan Barisan Nasional masih kuat khususnya berkaitan masalah dalaman Umno pimpinan Zahid Hamidi yang dilihat mengemudi parti untuk kepentingan diri dengan mengenepikan calon tempatan dan berpengaruh demi memastikan semua calon adalah mereka yang patuh dengan arahan beliau.
Sebagai kaum dominan dalam Negeri Perak dan negara Malaysia, pemerintahan dominasi Melayu Islam mesti diperkasakan. Sebarang usaha merobek kedudukan ini akan menyebabkan ketidakstabilan dalam politik dan pemerintahan. PAS Perak meyakini kekuatan penyatuan Melayu adalah solusi kestabilan politik dan agama di samping dukungan pelbagai kaum yang tidak ekstrem dalam membentuk pemerintahan Negeri Perak.
Usaha Jajaran Harapan mesti disekat dan dihalang. Berdasarkan fakta dan realiti semasa, PAS Perak menyeru seluruh pengundi khasnya di Negeri Perak terus bersama gelombang kesedaran dan perubahan untuk mengundi PERIKATAN NASIONAL.
Petunjuk yang ada khasnya sokongan pengundi muda yang meyakini kepimpinan kerajaan PERIKATAN NASIONAL dalam menguruskan pandemik COVID-19 dengan cemerlang, Prihatin rakyat serta bebas dari rasuah dan salahguna kuasa.
Jika dinilai perkembangan terkini, PAS Perak meyakini PERIKATAN NASIONAL Perak mampu membentuk kerajaan sendiri tanpa perlu gabungan lain demi kestabilan politik negeri. Marilah kita bersama membina kerajaan negeri Perak bersama PERIKATAN NASIONAL yang Prihatin, Bersih dan Stabil (PN BEST).
Sekian terima kasih.
RAZMAN ZAKARIA
Pesuruhjaya PAS Perak
Timbalan Pengerusi 1
PERIKATAN NASIONAL Perak
17 November 2022 / Gunung Semanggol – HARAKAHDAILY 17/11/2022




















