
KLUANG: PERIKATAN NASIONAL sudah melalui proses perbincangan panjang sebelum mengeluarkan manifesto untuk diberikan kepada rakyat di mana ia merupakan janji dan tekad sekiranya menjadi kerajaan.
Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Ustaz Abdullah Husin berkata, Manifesto PN itu akan menjadi rujukan kepada PN Negeri Johor sekiranya diberikan mandat mentadbir negeri Selatan tanah air tersebut.
“Manifesto merupakan panduan yang perlu dikemukakan kepada rakyat dan manifesto PERIKATAN NASIONAL mampu dilaksanakan jika diberi kepercayaan oleh rakyat untuk pilihan raya kali ini,” ujar beliau yang juga calon di P.146 Muar.
Ustaz Abdullah turut menyatakan, cabaran dalam pilihan raya itu adalah perkara biasa yang mesti dihadapi walaupun tokoh dan mantan Menteri ditentang oleh beliau dalam persaingan kali ini.
“Dalam konteks Muar, mungkin pemuda yang akan kita hadapi pemuda dari parti Umno, Mohd Helmy Abd Latif dan juga daripada MUDA, Syed Saddiq Abd Rahman.
“Namun, kita melihat bahawa di sana ada ruang untuk kita, calon yang bukan daripada pemuda. Kita tidak menafikan pemuda ada kelebihan dari sudut kecergasan dari sudut kepemudaan dengan semangat yang tinggi, dengan pandangan-pandangan yang bernas.
“Walaubagaimanapun orang yang sudah melepasi zaman pemuda (senior) mereka juga ada kelebihan yang lain. Maknanya masing-masing ada kelebihan, kita tidak mahu komen tentang calon-calon yang lain.
“Kerana umpama orang menjual produk, jadi kita terangkan produk kita dan kebaikan-kebaikan produk kita,” tambah beliau yang sebelum ini pernah menjadi wakil rakyat, ADUN Puteri Wangsa PRU13 lalu.
Beliaunjuga berpengalaman menjadi Pengerusi Penyelaras Khas DUN Pulai Sebatang selama 2 tahun atas kepercayaan diberikan oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Hasni Mohammad
“YB di situ adalah mantan YB Taqiuddin Che Man, orang muda juga tu. Itulah maknanya dengan kata lain kita dapat menonjolkan aspek kepimpinan, pengurusan berdasarkan pengalaman panjang yang telah saya lalui.
“Saya kira Dr. Karim Deraman di P.147 Parlimen Parit Sulong, beliau juga mempunyai kelebihan dari sudut akademik dan juga pemegang gelaran PhD dalam bidang fizik, seorang bekas pensyarah UTM.
“Selain itu beliau merupakan Profesor Madya dan pensyarah yang mempunyai pengalaman. Jadi beliau mempunyai rekod yang baik dan rekod ini dapat dimanfaatkan untuk menghadapai calon lain di sana,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/11/2022




















