
LONDON: Fenway Sports Group (FSG) kini bersedia untuk menjual pegangan saham mereka di Liverpool dan telah mengambil langkah penting dalam melepaskan pemilikan 12 tahun mereka terhadap kelab bola sepak tersohor itu.
Bank pelaburan Goldman Sachs dan Morgan Stanley dilantik oleh FSG untuk membantu dalam proses mencari pihak yang sama ada bersedia untuk membeli sebahagian peratusan saham atau membeli Liverpool sepenuhnya, lapor Daily Mail.
Pada awal tahun 2021, RedBird Capital yang dimiliki oleh jutawan Amerika, Gerry Cardinale, membeli 10 peratus saham dalam FSG, yang pada masa itu bernilai £543 juta pound sterling.
RedBird menimbulkan spekulasi sebagai pembeli berpotensi Liverpool tetapi ia akhirnya telah membeli gergasi Serie A, AC Milan baru-baru ini.
FSG membayar £300 juta untuk membeli Liverpool ketika ketika kegagalan rejim pentadbiran Tom Hicks-George Gillet pada Oktober 2010. Dianggarkan nilai kelab berkenaan boleh mencapai sehingga £4 bilion sekiranya ia dijual sekarang ini.
Sepanjang 12 tahun menjadi pemilik, Liverpool di bawah FSG telah memenangi lapan anugerah utama, termasuk Liga Perdana dan Liga Juara-Juara.
FSG juga telah mengubahsuai Anfield, dengan kapasiti tempat duduk akan mencapai 61,000 pada musim hadapan apabila Anfield Road End yang baharu akan dibuka.
Pada tahun lepas, ketika pandemik Covid-19 global, FSG dikritik hebat kerana memutuskan untuk memecat kakitangannya yang tidak terlibat dengan pemain kelab tersebut. – HARAKAHDAILY 8/11/2022




















