
KEMENTERIAN Alam Sekitar dan Air (KASA) ingin merujuk kepada kenyataan yang tular berkenaan Kerajaan Caretaker tidak boleh membuat anugerah tender bertarikh 7 November 2022.
Selaras dengan Mesyuarat Khas Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Perkhidmatan Bil.1 Tahun 2022 pada 11 Oktober 2022, Surat Pekeliling Kementerian Kewangan (MOF) bertarikh 18 Oktober 2022 berkaitan ‘Pelaksanaan Perolehan Kerajaan Selaras Peranan dan Fungsi Kerajaan Caretaker’ serta Garis Panduan Peranan dan Fungsi Kerajaan Caretaker yang diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 7 Oktober 2022 yang antara lain menetapkan, apa-apa komitmen kontraktual atau aku janji (undertaking) hendaklah dielakkan, termasuklah apa-apa rundingan atau aku janji baharu yang boleh mengikat dan membebankan serta memberi implikasi kewangan kepada kerajaan baharu.
Sepanjang tempoh Kerajaan Caretaker iaitu selepas pembubaran Parlimen pada 10 Oktober 2022, KASA telah menangguhkan segala proses perolehan berkaitan dengan Projek Tebatan Banjir secara Off-Budget (2023 – 2030) termasuk pengeluaran Surat Niat (Letter Of Intent – LOI), Surat Pelawaan, Surat Setuju Terima (SST) dan sebarang bentuk rundingan dengan pihak kontraktor atau perunding termasuk Kerja-kerja Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat.
KASA sentiasa cakna dan patuh kepada peraturan yang berkaitan dalam tempoh Kerajaan Caretaker ini. Justeru itu, kenyataan tersebut tidak berbangkit sama sekali dan hanya bersifat persepsi sahaja.
KEMENTERIAN ALAM SEKITAR DAN AIR
Putrajaya
8 November 2022 – HARAKAHDAILY 8/11/2022




















