Dana Inisiatif Hijau Timur Tengah: Saudi suntik RM11 bilion

Putera Mahkota Mohammed bin Salman (tengah) merasmikan edisi kedua Sidang Kemuncak Inisiatif Hijau Timur Tengah (MGI) di Sharm El-Sheikh, Mesir pada 7 Nov 2022. (FOTO: Saudi Gazette)
- Advertisement -

SHARM EL-SHEIKH, Mesir: Arab Saudi bakal menyumbangkan sebanyak AS$2.5 bilion (RM11 billion) kepada dana Inisiatif Hijau di Timur Tengah dalam tempoh 10 tahun akan datang, dan menjadi tuan rumah ibu pejabatnya.

- Advertisement -

Putera Mahkota Saudi, Mohamed bin Salman juga menegaskan bahawa Pelaburan Awam kerajaan negara itu akan menyasarkan pelepasan sifar bersih menjelang 2050, lapor Saudi Gazette.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan edisi kedua Sidang Kemuncak Inisiatif Hijau Timur Tengah (MGI) yang telah menghimpun pemimpin dari seluruh dunia di Mesir pada Isnin.

Dianjurkan oleh Mohammed bin Salman, sidang kemuncak itu membincangkan cabaran perubahan iklim yang dihadapi rantau berkenaan, dan mengemas kini pemimpin tentang kemajuan isu berkenaan di negara masing-masing sejak sidang kemuncak sulung pada 2021, sambil turut mengumumkan program baharu yang mempercepatkan tindakan terhadap perkara tersebut.

Putera Mahkota menjadi tuan rumah  bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi sidang kemuncak itu, yang diadakan seiring dengan Persidangan Perubahan Iklim PBB 2022 (COP27) yang sedang berlangsung di sini ketika ini.  

Inisiatif Hijau Timur Tengah bertujuan untuk mengurangkan pelepasan karbon daripada pengeluaran hidrokarbon serantau sebanyak lebih daripada 60 peratus.

Ia juga merancang untuk menanam 50 bilion pokok di seluruh Timur Tengah dan memulihkan kawasan bersamaan dengan 200 juta hektar tanah terdegradasi, yang akan membantu mengurangkan tahap karbon global sebanyak 2.5 peratus.

“Saudi juga merancang untuk bergantung kepada tenaga boleh diperbaharui untuk 50 peratus penjanaan elektriknya menjelang 2030, dan menghapuskan 44 juta tan pelepasan karbon menjelang 2035.

“Tahun lepas, Arab Saudi menyasarkan untuk menyumbang 15 peratus daripada peruntukan AS$10.4 bilion yang diperlukan untuk projek tenaga bersih dana berkenaan,” titah Putera Mahkota. – HARAKAHDAILY 8/11/2022

- Advertisement -