
JOHOR BAHRU: PAS Negeri Johor optimis dapat melakar kemenangan pada PRU15 kali ini menerusi empat kerusi Parlimen yang ditandingi oleh calonnya mewakili PERIKATAN NASIONAL (PN).
Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin menzahirkan keyakinan itu kepada media ketika memperkenalkan calon-calon PAS di Pejabat PAS Johor di Bandar Baru Uda, di sini kelmarin.
“Perkara paling penting ialah kita mahu menanam iltizam dan komitmen untuk memenangi empat kerusi yang kita ditandingi.
“Kita berhasrat untuk lahirkan ‘anak sulung’ yang boleh jadi kembar dua atau empat (menang Parlimen), jadi hasrat kita begitulah,” ujar beliau.
Ustaz Abdullah yang juga Naib Pengerusi PN Johor, akan bertanding di kerusi P.146 Muar manakala Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Dr Abdul Karim Deraman akan bertanding di P.147 Parit Sulong.
Dua lagi kerusi iaitu P.155 Tenggara dan P.149 Sri Gading akan ditandingi oleh Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar dan Zanariyah Abdul Hamid.
Mengulas lanjut ketika ditanya mengenai pembahagian kerusi di Johor, beliau menegaskan menerima dan akur dengan keputusan pimpinan PAS Pusat untuk PAS Johor.
“Istilahnya, kami dengar dan kami patuh. Reda dan menerima sepenuhnya keputusan pucuk pimpinan. Tiada perkara yang boleh puaskan hati semua pihak kerana ada masa apa yang kita minta tak semestinya dapat.
“Bila kita ada dalam gabungan politik, kena ada sifat saling memberi dan menerima serta tidak mementingkan diri.
“Oleh itu, apabila jumlah kerusi tidak banyak ditandingi, diharapkan satu lonjakan berlaku dalam sejarah PAS Johor dengan memenangi kerusi Parlimen kali ini.
“PRU14, kami bertanding 20 kerusi Parlimen, namun tewas semua kerusi. Jadi kita akan fokus sebaiknya, empat kerusi yang diberikan pucuk pimpinan PAS ini dianggap peluang terbaik untuk kami menarik pengundi,” katanya.
Ustaz Abdullah turut menambah, jentera PAS sudah pun memulakan gerak kerja sejak pembubaran Parlimen dengan menyasarkan mendekati lebih ramai pengundi muda termasuk menggunakan media sosial.
“Kami sudah beberapa kali bermesyuarat bersama jentera PN, bersama BERSATU dan GERAKAN peringkat negeri bagi memperincikan gerak kerja dan strategi kempen.
“Gerak kerja jentera sebenarnya sudah pun bermula dan akan lebih agresif selepas pengumuman calon. Selain media sosial, kami turut merangka beberapa siri kempen.
“Juga program membabitkan pelbagai golongan termasuk generasi muda susulan pertambahan jumlah pengundi muda dan ‘first voter’ berikutan daftar undi automatik,” katanya.
Turut hadir dalam majlis, Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Roslan Nikmat; Ketua Dewan Ulama Negeri, Ustaz Azlisham Azhar dan Naib Ketua Dewan Ulamak Pusat, Ustaz Khirul Muntanazar Ismail.
Untuk rekod, pada PRU-14 PAS Johor bertanding sebanyak 20 kerusi Parlimen dan 17 kerusi DUN Negeri Johor namun menang hanya satu kerusi DUN.
Menerusi PRN Johor yang berlangsung Mac lepas, PAS Johor berjaya menawan kembali DUN Maharani setelah kehilangan dua penggal sebelumnya. – HARAKAHDAILY 4/11/2022























