PN selamatkan setelah PH hampir runtuhkan

Tabung Haji

- Advertisement -

TABUNG Haji (TH) yang ditubuhkan secara rasmi pada 30 September 1963 bermakna pada hari ini sudah melepasi umur 59 tahun usianya. Di mana kekuatan terbesar TH kini adalah kepercayaan 8.6 juta rakyat Malaysia dalam kalangan umat Islam yang meletakkan RM88.09 bilion deposit kepadanya.

- Advertisement -

Reputasi dan wibawa itu hakikatnya tidak mudah dipertahankan atas pelbagai cabaran sepanjang zaman yang telah dipikul. Namun, sebagaimana teguhnya Menara TH di Jalan Tun Razak Kuala Lumpur, seperti itulah ia tetap menongkah zaman.

Dari hanya sebuah ‘badan tabungan’ yang menjurus pengurusan hal ehwal ibadah haji, TH kemudiannya telah berkembang lebih perkasa. Ia muncul menjadi institusi kewangan sosial umat Islam yang menceburi serta berjaya dalam beberapa sektor pelaburan dan memegang aset besar.

Pun begitu dalam lipatan sejarah kewujudannya, TH tidak setakat berprestasi dengan pelbagai inisiatif dan intervensi yang diiktiraf. Tetapi pernah juga terpalit beberapa dakwaan, polemik dan kontroversi. Namun, paling jahat apabila ada yang menangguk kekuatan atau bermotif terselindung ke arah ‘menjatuhkannya’.

Paling ketara menyerlahkan kerakusan adalah di era pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan (PH). Di mana antara keputusan dibuat adalah untuk menjual 14 anak syarikat di bawah Tabung Haji Plantations Berhad (THP).

Sedangkan THP yang disenarai awamkan sejak tahun 2006 dengan permulaan ladang seluas 15,746 hektar, telah menambah keluasan dimiliki kepada 100,976 hektar pada akhir tahun 2017 di bawah 19 anak syarikat milik TH itu.

Pencapaian itu dilakar hasil petunjuk kewangan yang memberangsangkan dengan mencatat keuntungan saban tahun sehingga 2017 itu, sebelum PH berjaya menjatuhkan dominasi 60 tahun Barisan Nasional (BN) pada Mei 2018.

Dengan keputusan tersebut bermakna THP dipaksa melepaskan 76.2 peratus atau 76,957 hektar daripada jumlah keluasan keseluruhan ladang dimilikinya. Alasan disohor ketika itu adalah hutang yang dikatakan kian membesar.

Dari semakan dibuat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) terhadap 14 anak syarikat itu, empat daripadanya adalah syarikat yang mencatatkan keuntungan iaitu THP Ibok, THP PELITA Sadong, THP PELITA Gedong dan Hydroflow.

Keputusan dicurigai itu membangkitkan pertikaian dan emosi kemarahan umat Islam apabila ada di antara ladang itu dilupuskan kepada syarikat bukan bumiputera iaitu Tamaco Plantation Sendirian Berhad.

Ahli Lembaga Pengarah Tamaco Plantation ketika itu disenaraikan bernama Lim Sing Hua; Lim Chun Leng; Lim Wai Foong; Lim Chun Hsiung; dan Lee Ban Loong. Apa kaitan atau hubungan mereka dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika itu, tidaklah sempat diselidiki.

Lebih mengejutkan, apabila aset perladangan itu diputuskan untuk dijual pada harga cuma RM170 juta kepada Tamaco, sedangkan jurunilai CH Williams menilainya pada harga RM280 juta pada Disember 2018 dan JPPH meletak nilai RM224 juta pada April 2020.

Hutang THP juga membengkak semasa di bawah PH iaitu pada tahun 2018 RM1.24 bilion kepada RM1.29 bilion bagi tahun 2019. Iaitu kerugian RM678 juta bagi tahun 2018, dan RM245 juta untuk tahun 2019. Sedangkan tahun 2015 mencatat untung RM18,714,000 dan tahun 2016 sebanyak RM127,296,000, manakala tahun 2017 direkodkan RM60,990,000.

Peliknya, PH mempertikai kerajaan terdahulu yang agresif membeli tanah pada tahun 2012 sehingga tahun 2014 di bawah THP daripada hanya 15,000 hektar kepada 100,000 hektar dalam dua tahun itu.

Walaupun dipersoalkan tanah itu tidak dilaksanakan penanaman, tetapi semasa PH tidak pula disungguhkan untuk diusahakan pertanian di tanah tersebut yang terbentang luas itu.

Tindakan itu juga dilihat satu langkah ‘mudah’ yakni ‘melepaskan beban’ secara tidak bermaya tanpa berjuang mempertahankan kepentingan aset tersebut atau sebenarnya telah tunduk kepada ‘desakan’ tertentu?

Bahkan layak disangsi ‘ada udang di sebalik batu’ yakni mungkin ‘pakatan tersembunyi’ apabila melepaskan ekuiti itu kepada pihak tidak sewajarnya dengan harga turut diragukan.

Ternyata kepimpinan PH terlalu lemah untuk diharapkan menjaga harta umat Islam itu, sekali gus meletakkannya berisiko tergadai. Syukurlah hayat PH tidak lama apabila PERIKATAN NASIONAL (PN) mengambil alih pentadbiran negara.

TH juga berjaya diselamatkan dan proses-proses jualan anak syarikat yang berkenaan tidak berjaya diteruskan. Sebaliknya kepimpinan baharu bukan sahaja menyelamatkan kepentingan umat Islam itu, bahkan berjaya memajukannya.

Dengan meluluskan pelan rehabilitasi cuma RM150 juta aset-aset yang terbiar tersebut telah dimaksimumkan hasil pengeluaran ladang-ladang bagi kos membaja dan memulihkan bagi menghasilkan pulangan optimum.  

Natijahnya, hasil jualan THP telah meningkat kepada RM760.8 juta pada tahun 2021 berbanding RM493.65 juta pada tahun 2019. Peningkatan sejumlah RM332.85 juta itu terlaksana dari tadbir urus di bawah teraju baharu.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 4/11/2022

- Advertisement -