
22 BULAN pemerintahan Pakatan Harapan dengan penonjolan DAP dalam mengawal kerajaan mentadbir khazanah negara amat memeritkan. Lebih memeritkan apabila kesan langsung fahaman mesra Komunis mulai kelihatan dalam urusan negara ketika itu.
Teramat perit lagi apabila komponen Pakatan Harapan terpaksa mengalah dan akur dengan desakan DAP dalam kerajaan. Mujurnya ketika itu Tun Dr Mahathir rasional seketika dengan mengumumkan peletakan jawatan yang kemudiannya memberi laluan kepada Perikatan Nasional mentadbir kerajaan.
Barangkali Tun telah menghidu aliran tidak sihat ini dan pantas mengangkat ‘handbrake‘, menutup suis dari meneruskan kuasa yang pada Tun tidak akan membawa negara ke suatu tahap yang lebih baik. Kesan dari kefahaman dan ideologi komunisme ini boleh memusnahkan sistem nilai dan ekonomi masyarakat terutama umat Melayu.
Sepanjang tempoh itu Kelantan juga terkesan dan ditekan. Diperli berkali-kali dan diperlihatkan secara hodoh oleh penguasa DAP sebagai ‘meminta-minta’ sedangkan hakikatnya ia hak kerajaan negeri. Dengan sengaja dan bermotif mahu memberikan persepsi buruk kepada wajah negeri yang membawa dasar Islam.
Untuk itu, cukuplah keperitan 22 bulan dan negara untuk kesekian kalinya perlu dibebaskan daripada kumpulan dan pakatan yang songsang aliran pemikiran mengangkat komunisme, apa lagi bermusuh ketat dengan Islam.
Salam hormat.
MOHAMAD KAMAL MOHAMED
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan – HARAKAHDAILY 21/10/2022




















