
JABATAN Metereologi Malaysia atau MetMalaysia telah mengeluarkan jangkaan hujan lebat berterusan bermula November ini sehingga hujung bulan tersebut.
Kerisauan di peringkat Kementerian Alam Sekitar dan Air adalah persediaan agensi kerajaan dan rakyat dalam menghadapi bencana ini. Meskipun banjir adalah fenomena yang berlaku saban tahun, kesan kerosakan daripada bencana ini tidak boleh dipandang enteng.
KASA telah memulakan langkah jangka masa panjang bagi mengatasi implikasi dan perubahan iklim yang menyebabkan berlakunya bencana banjir semenjak 2021.
Antaranya melibatkan perancangan jangka masa pendek melibatkan 1,235 projek kerja kecemasan luar jangka dengan kos sebanyak RM145 juta di seluruh negara.
Manakala Rancangan Tebatan Banjir dan Saliran Air berjumlah RM10.25 bilion merupakan langkah jangka masa panjang KASA dalam mendepani isu banjir yang berpanjangan.
Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November ini akan menyebabkan hujan berterusan yang berkemungkinan besar membawa kepada risiko banjir yang tinggi.
Tempoh hujung tahun ini merupakan tempoh genting yang perlu diambil 100 peratus perhatian dan langkah berjaga-jaga oleh semua pihak. Khususnya pada jangka masa tempoh pertengahan November sehingga Disember 2022.
Maka, segala perancangan aktiviti dan pergerakan rakyat Malaysia perlu disusun sebaiknya dengan mengambil kira risiko yang mungkin berlaku hal ini.
Oleh sebab itu, KASA menzahirkan komitmen kami dengan bertekad menyempurnakan segala persediaan jangka masa pendek serta memastikan perancangan jangka masa panjang adalah mengikut jadual yang ditetapkan.
Kebajikan dan keselamatan rakyat adalah keutamaan KASA. Maka, KASA memandang tempoh hujung tahun ini perlu difokuskan sepenuhnya terhadap agenda kebajikan rakyat tanpa diganggu dengan perkara-perkara yang boleh merencatkan persediaan rapi ini.
UTHMAN CHE AZIZ – HARAKAHDAILY 17/10/2022





















