
Oleh SYAHIRAH SALLEH
KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 (PRU15) wajar diadakan apabila rakyat dan kerajaan berada dalam keadaan tenang, aman serta bersedia untuk memilih pemimpin.
Pengerusi badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Zai Mustafa, berkata sepatutnya tiada pihak yang cuba mendesak Parlimen dibubarkan ketika ini.
Beliau turut menjunjung titah Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menitahkan kerajaan memberi fokus kepada persiapan banjir.
“UMMAH menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong supaya kerajaan memberi fokus kepada sistem amaran awal bencana dan banjir serta menyelaras bantuan bencana kepada rakyat sebaiknya.
“Keprihatinan Tuanku agar kerajaan memberi fokus kepada keselamatan dan keperluan rakyat sangatlah dihargai dan disokong sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Zai, titah Yang di-Pertuan Agong itu disampaikan melalui Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, selepas taklimat kementerian berkenaan berkaitan banjir. – HARAKAHDAILY 6/10/2022




















