
Susunan ZULHAIDI MANSOR
CAPE TOWN: Gesaan semakin meningkat kedengaran dari Afrika Selatan terhadap keluarga diraja British agar memulangkan semula berlian yang terbesar di dunia yang didakwa sebenarnya ‘dicuri’ dari negara itu.
Dikenali sebagai Bintang Besar Afrika (Great Star of Africa) atau Cullinan I, berlian yang dipotong daripada permata yang lebih besar selepas ditemui di sebuah lombong di Afrika Selatan pada tahun 1905 itu, dikatakan telah diserahkan kepada keluarga diraja British oleh pihak berkuasa kolonial Afrika Selatan dan kini dipasang pada tongkat kerajaan kepunyaan mendiang Ratu Elizabeth II, lapor CNN.
Tuntutan untuk memulangkan Cullinan I dan berlian-berlian lain semakin lantang kedengaran sejak kemangkatan baginda ratu dan ramai rakyat Afrika Selatan melihat pemerolehan permata oleh Britain sebagai tidak sah.
Kemangkatan baginda ratu yang bakal disemadikan pada hari ini (19 Sept) telah membuka kembali perbahasan tentang kolonialisme di Afrika Selatan dan bagaimana ia berkaitan dengan warisannya.
Media di Afrika Selatan telah membahaskan pemilikan berlian unik itu, dengan turut menyelitkan isu tuntutan untuk pembayaran ganti rugi buat negara itu.

“Berlian Cullinan I mesti dikembalikan ke Afrika Selatan berkuat kuasa serta-merta,” kata aktivis Thanuxolo Sabelo kepada media tempatan, lapor CNN lagi.
“Bahan galian negara kita (Afrika Selatan) dan negara-negara lain berterusan memberi manfaat kepada Britain dengan mengorbankan kepentingan rakyat kita,” tegasnya.
Lebih 6,000 orang telah menandatangani petisyen meminta Bintang Besar Afrika dikembalikan dan dipamerkan di muzium Afrika Selatan.
Apabila Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa baru-baru ini menyiarkan tweet memuji baginda ratu, ramai yang memberi reaksi bahawa tentang isu berlian Cullinan I yang dikatakan dicuri oleh UK dari negara itu.
Seorang netizen dalam reaksinya di Twitter Ramaphosa menulis, “Adakah anda (Cyril Ramaphosa) bertanya kepadanya (Raja Charles II) tentang bilakah dia akan membawa balik berlian Afrika Selatan?,” manakala seorang lagi menyiarkan reaksi terhadap pelantikan Raja Charles III sebagai ‘panggilan tugas pertamanya adalah untuk mengembalikan berlian Afrika Selatan!’.

Menurut laporan Buzz.ie pula, seorang ahli parlimen di parlimen Afrika Selatan, Vuyolwethu Zengula, telah menggesa kepimpinan negara itu menuntut UK memulangkan berlian berkenaan, selain menyeru agar negara itu keluar daripada menjadi ahli Komanwel.
“Afrika Selatan kini sepatutnya meninggalkan Komanwel, menuntut ganti rugi untuk semua kerosakan yang dilakukan oleh Britain di negara ini, merangka semula perlembagaan baharu berdasarkan kehendak rakyat Afrika Selatan, dan menuntut pemulangan semua emas, berlian yang dicuri oleh Britain ” katanya, lapor timeslive.co.za.
Membuka kembali lipatan sejarah, apabila berlian asal Cullinan I ditemui di Lombong Utama Pretoria pada tahun 1905, ia sangat besar dan luar biasa sehingga pemeriksa berlian, Thomas Wells pada mulanya menyangka ia hanyalah sekeping kaca.
Namun pemeriksaan lebih lanjut mendedahkan berlian tidak berwarna seberat 1.33 paun itu adalah yang terbesar pernah ditemui.

Syarikat penyelia koleksi diraja keluarga diraja British, The Royal Collection Trust pula berkata, berlian Cullinan I telah diserahkan kepada Raja Edward VII pada 1907, dua tahun selepas penemuannya di lombong persendirian milik Sir Thomas Cullinan di wilayah Transvaal lama Afrika Selatan.
Berlian itu dipecahkan kepada dua bahagian, yang kemudiannya bertukar menjadi sembilan kepingan yang lebih kecil secara keseluruhan.
Sekeping daripada berlian 530.2 karat itu kemudian telah ditambahkan pada Sovereign’s Scepter with Cross, suatu objek yang dikatakan suci buat keluarga diraja British berbentuk seperti cokmar yang wujud sejak tahun 1600-an, yang sering digunakan semasa upacara pertabalan keluarga diraja Britain, khususnya pada tahun 1910; di samping ia juga dipamerkan kepada umum di Jewel House di Menara London.
Merujuk kepada Cullinan-Diamond.com, nilai berlian Cullinan I tiada tandingan adalah kerana keunikannya yang cukup terserlah.
Tidak lama selepas ia ditemui, berlian berkenaan dijual kepada kerajaan Transvaal dengan harga 150,000 pound sterling.
Pada tahun 1907, apabila berlian itu dihantar ke England, ia telah diinsuranskan dengan harga AS$1,250,000, yang bersamaan dengan kira-kira AS$123,000,000 pound sterling pada masa ini.
Sekeping berlian Cullinan Diamond, Great Star of Africa itu kini dianggarkan bernilai antara AS$400,000,000 hingga AS$2 bilion, namun ia sekadar anggaran kerana berlian berkenaan tidak sama sekali akan dijual pada masa hadapan memandangkan ia adalah sebahagian daripada aset paling berharga disimpan oleh The Royal Collection Trust. – HARAKAHDAILY 19/9/2022




















