PAS-Umno: Menunggu mentari muncul lagi

Cerpen sempena ulang tahun ketiga Muafakat Nasional

- Advertisement -

KERETA yang dipandu Pazil terus membelah lebuh raya menuju destinasi. Unah yang berada di sebelah sedang tersengguk-sengguk mengikut huyungan kereta, sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Tudung pink Puteri Umno tersemat kemas menutupi kepala Unah. Pazil yang memandu tersenyum melihat gelagat luar sedar isterinya yang baru sahaja beberapa bulan lepas pantang.

Radio berkumandang lagu ‘Mentari Muncul Lagi’ nyanyian suara emas Zamani yang terus malar menakluk zaman.

Aku fikirkan mendung berterusan 

Tapi kini Mentari muncul lagi…

Bibir Pazil terus tersenyum lebar mendengar bait-bait lagu ‘Mentari Muncul Lagi’. Ingatannya melayang ke hari Himpunan Penyatuan Ummah di PWTC tiga tahun lalu. Tanggal 14 September 2019 itulah dia bertemu kekasihnya Unah yang kemudian disunting menjadi suri hidupnya.

Unah yang ketika itu hadir mewakili Puteri Umno sedang berlari-lari anak menuruni anak tangga masuk ke perkarangan dewan menyaksikan peristiwa sangat bersejarah. 

Pazil pula sebagai anggota Jabatan Amal PAS menjadi bentara majlis di hari bersejarah itu. Sekonyong-konyong kaki Unah tersadung lalu hampir-hampir tersungkur. Beg tangan yang berisi barangannya jatuh bertabur. Rambutnya yang sebelumnya rapi, sedikit menjadi kusut masai.

Cepat-cepat Pazil membantu Unah seraya bertanya: “Awak tak apa-apa? Tak ada terseliuhkan?”

Unah tersipu-sipu menjawab: “Saya okay. Terima kasih ya tolong saya”

Siapa sangka pertemuan tersebut mencetuskan naluri ingin bertanya khabar antara mereka . Dari bertanya khabar kemudiannya membibitkan rasa kasih yang membawa mereka ke jenjang pelamin. 

Pazil tersenyum lebar seorang diri sambil memandu mengingatkan lafaz akad nikahnya dengan Unah, “Aku nikahkan dikau Fadzil Bin Atan dengan anakku Rusnah Binti Amran dengan mas kahwin …. Aku terima nikahnya Rusnah Binti Amran…”.

Betullah kalau dah jodoh tak ke mana. Awalnya, bimbang juga Pazil bagaimana nak memujuk ayahnya untuk menerima Unah sebagai menantu. Dulu kakak sulungnya pernah dipinang oleh Ketua Pemuda Umno di kampungnya, terus ditolak pinangan tersebut oleh ayah. 

Ayah Pazil merupakan pengasas PAS di kampung itu. Entah mengapa dia memang tidak begitu selesa dengan Umno. Sehingga kini kakak sulungnya masih belum berkahwin.

Selepas berkenalan dengan Unah, Pazil beranikan diri beritahu ayahnya untuk meminang Unah. Ayah Pazil bertanya sambil membetulkan kopiahnya berlambang PAS, “Perempuan mana yang kamu nak kahwin? Muslimat PAS ke?”

Terus Pazil tergagap-gagap menjawab, “Puteri Umno, ayah.”

Berdebar-debar Pazil menunggu reaksi ayahnya. Separuh hatinya telah melayang bimbang nasibnya akan menuruti jejak nasib kakak sulungnya.

Ayah Pazil bertanya lagi, “Macam mana kamu jumpa dia”.

Pazil pun menceritakan peristiwa pertemuannya dengan Unah di Himpunan Penyatuan Ummah tersebut. Tiba-tiba Pak Atan, ayah Pazil, tersenyum malu-malu. Pazil mungkin tidak tahu, sebenarnya air mata Pak Atan mengalir menyaksikan peristiwa itu dari jauh. Pak Atan tiba-tiba menyambung lagi, “Bagi ayah tengok gambar bakal menantu ayah tu”.

Separuh hati Pazil yang melayang tadi datang semula. Semangatnya jadi kuat, lalu menunjukkan gambar Unah kepada Pak Atan. Pazil berikan kepada ayahnya gambar Unah yang tersenyum manis dengan tudung pink Puteri Umno.

Sejak Unah berkenalan dengan Pazil, Pazil selalu menghantar nasihat-nasihat agama kepada Unah melalui WhatsApp. Unah pun hadir majlis-majlis usrah dan ceramah agama yang dianjurkan bersama Muslimat PAS dan Wanita Umno. Perlahan-lahan Unah menutupi kepalanya, menyebabkan hati Pazil semakin berbunga untuk cepat-cepat menyunting buah hatinya.

Selepas majlis perkahwinan mereka berlangsung, wabak COVID-19 melanda Malaysia. Pergerakan rakyat mula disekat. Berbulan-bulan Pazil dan Unah tidak balik ke kampung menziarahi ibu bapanya dan juga ibu bapa mertuanya. 

Pernah sekali sebelum wabak melanda, mereka balik sekejap ke kampung Pazil. Tersenyum lebar Pak Atan menyambut menantunya Unah. Malah Pak Atan tidak kekok bertanya kegiatan Puteri Umno menantunya. 

Bagaimanapun selepas setahun Himpunan Penyatuan Ummah, hubungan PAS dan Umno mula bergolak. Bagi Pazil dan Unah, hubungan suami isteri mereka semakin erat biarpun Pazil terus bergiat dengan Jabatan Amal PAS dan Unah dengan kegiatan Puteri Umnonya. Cuma Pak Atan nampak berubah sedikit.

Tidak diketahui perasaan sebenar Pak Atan sekarang. Adakah dia kembali membenci Umno. Kalau dia kembali membenci Umno, bagaimana pula penerimaannya terhadap Unah? Bolehkah dia mesra seperti sebelum ini? Boleh jadi juga Pak Atan terus mengharapkan hubungan Muafakat Nasional terus subur, walaupun serang menyerang telah berlaku kembali antara PAS dan Umno. 

Baru-baru ini, Pazil dan Unah balik berhari raya di rumah Pak Atan. Tidak nampak sangat perubahan Pak Atan, cuma dengan Unah dia kurang bercakap, tidak semesra seperti dulu. Tapi dengan cucunya Syahmi, anak Pazil dan Unah, memang Pak Atan tak berenggang langsung. Tak tahulah macam mana hubungan mereka sekeluarga hari-hari esok. 

Hubungan PAS dan Umno di dalam Muafakat Nasional semakin hari semakin kelam. Sudah beberapa Pilihan Raya Umum peringkat negeri, Muafakat Nasional hilang dari radar. Pertemuan dan majlis bersama antara PAS dan Umno sudah lama tidak berlangsung. Masing-masing membawa haluan masing-masing. Bilakah kemesraan akan hangat seperti dulu, masing-masing tiada jawapannya.

Lamunan Pazil tiba-tiba terhenti, bila suara merdu Zamani mula menyebut bait-bait terakhir lagu ‘Mentari Muncul Lagi’.

Syukur Tuhan masih sayang pada kita…

Unah di sebelah pun dah tersedar. “Abang dah sampai ke?” Pazil menjawab, “Sekejap lagi”. Hari ini tanggal 14 September 2022, Pazil dengan sut Jabatan Amalnya dan Unah dengan baju kurung Puteri Umnonya hadir ke PWTC menyambut ulang tahun ketiga Muafakat Nasional berduaan. 

Tiada pimpinan-pimpinan yang lain, tiada juga ahli-ahli yang lain. Hanya Pazil dan Unah yang menunggu-nunggu bilakan mentari akan muncul lagi.

DR MOHD ZUHDI MARZUKI
Ahli Jawatankuasa Kerja 
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 15/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -