SUKMA ke-20: Kedah sasar 25 pingat emas

- Advertisement -

Oleh: SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Kedah menyasarkan 25 pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke 20 yang akan di adakan di Kuala Lumpur pada tahun ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ganjaran berupa wang tunai sebanyak RM3,000 akan dihadiahkan kepada mana-mana atlet negeri yang berjaya merangkul pingat emas pada sukan terbabit.  

- Advertisement -

Sementara pemenang pingat perak dan gangsa pula masing-masing akan dihadiahkan sebanyak RM2,000 dan RM1,000. 

“Ganjaran itu  hanya tertakluk kepada acara perseorangan (individu). Bagi acara berpasukan, kira macam lain pula,” kata beliau pada sidang media sebaik sahaja selesai majlis penyerahan bendera kontijen Kedah sempena SUKMA ke-20, di Dewan Seri Mentaloon, di sini, hari ini.

Menurutnya, tiga acara terdiri daripada combat (tempur), raket dan pelayaran menjadi sasaran negeri itu pada SUKMA kali ini apatah lagi terdapat pemegang pingat Sukan SEA dalam pasukan pelayaran Kedah. 

“Ada kelebihan untuk pasukan pelayaran SUKMA Kedah kerana pertandingan diadakan di tempat mereka berlatih iaitu di Langkawi. Malah di Langkawi juga menjadi pusat latihan kepada atlet-atlet Majlis Sukan Negara (MSN),” tambahnya. 

Sanusi berkata, sehingga kini persiapan telahpun dibuat sejak empat tahun lalu malah pasukan asal dikekalkan walaupun SUKMA tidak dapat beraksi selama dua tahun akibat pandemik Covid-19. 

“Dalam masa yang sama, slogan ‘Kedah Fighter’ untuk kontigen negeri itu adalah sebagai pencetus semangat juang.

“Orang Kedah ini pejuang kental, sangat menjaga imej dan maruah negeri dan rakyat Kedah,” tegasnya. 

Justeru, beliau berkeyakinan kontijen SUKMA Kedah bukan sahaja berjaya mencapai sasaran 25 pingat emas, malah akan lebih dari itu.

Seramai 773 orang melibatkan 520 atlet, 103 jurulatih, 38 pengurus, 75 urusetia dan 37 pegawai tambahan akan mewakili kontijen Kedah pada SUKMA kali ini. – HARAKAHDAILY 7/9/2022

- Advertisement -