Liz Truss PM baharu UK: Bakal bekukan bil tenaga

- Advertisement -

Susunan ZULHAIDI MANSOR

LONDON: Liz Truss yang diumumkan sebagai Perdana Menteri United Kingdom dijangka bakal membekukan bil tenaga untuk rumah dan perniagaan di negara itu dalam masa beberapa hari ini.

Pakej sokongan untuk membekukan bil dijangka diumumkan menjelang Khamis (15 Sept) ini dan boleh menelan kos perbendaharaan mencecah £90 bilion, dan pelan yang sedang dipertimbangkan itu bakal menyaksikan kerajaan UK memberi subsidi kos tambahan gas borong yang dibeli oleh syarikat tenaga, menurut The Times.

- Advertisement -

Setakat ini, Truss belum mengumumkan tentang jenis pakej sokongan yang mungkin bakal diperkenalkannya, tetapi laporan mencadangkan beliau mungkin akan menampilkan kaedah pembekuan bil tenaga dalam beberapa bentuk.

Hari pertama Truss memegang jawatan berkenaan menyaksikan beliau menghadapi isu krisis kos sara hidup kerana rakyat Britain tidak sabar-sabar menanti pengumuman mengenai sokongan kewangan selanjutnya dalam menghadapi bil tenaga yang melambung tinggi.

Truss diumumkan sebagai PM baharu UK menggantikan Boris Johnson selepas menewaskan lawannya, Rishi Sunak dengan undian 81, 326 berbanding 60, 399 dalam pemilihan kepimpinan Tory.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Ahli Parlimen Konservatif 1922, Sir Graham Brady di Pusat Persidangan QEII di tengah London hari ini selepas beribu-ribu ahli parti Tory mengundi sebelum tarikh akhir pada hari Jumaat, lapor Manchester Evening News.

Liz Truss disifatkan sebagai menang tipis terhadap Rishi Sunak (FOTO Nation al World)

Truss akan diserahkan kunci pejabat Perdana Menteri Britain di Nombor 10 Downing Street pada hari ini, Selasa (6 September) selepas Boris Johnson secara rasmi menyerahkan peletakan jawatannya dalam pertemuan dengan Ratu Elizabeth di Istana Balmoral. 

Terdahulu, beliau yang menerima tepukan gemuruh ketika naik ke pentas untuk membuat ucapan kemenangan, mengucapkan terima kasih kepada ahli parti kerana meletakkan kepercayaan kepadanya untuk memimpin Parti Konservatif.

“Saya tahu itulah sebabnya anda semua mengundi kami dalam jumlah sedemikian pada 2019 dan sebagai ketua parti anda, saya berhasrat untuk menunaikan apa yang kami janjikan kepada pengundi itu di seluruh negara besar kami.  

“Boris (Johnson), anda telah menyelesaikan Brexit, anda menghancurkan Jeremy Corbyn, anda melancarkan vaksin dan anda menentang Vladimir Putin. Anda dikagumi dari Kyiv hingga Carlisle,” katanya sambil memuji Boris. 

Tajuk muka depan beberapa akhbar di United Kingdom mengenai pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri baharu negara itu. (FOTO Travel Daily Feed Mail)

Beliau mengakhiri ucapannya dengan janji untuk menyampaikan kemenangan besar  untuk partinya dalam masa dua tahun. 

“Kita semua akan melaksanakan tugasan penting untuk negara ini dan saya akan memastikan bahawa kita menggunakan semua kebolehan hebat semua ahli-ahli Parti Konservatif.

“Dan kami akan memberikan kemenangan besar untuk Parti Konservatif pada 2024,” katanya. 

Truss bakal menjadi perdana menteri UK keempat dalam tempoh lebih sedikit daripada enam tahun selepas  perolehan terpantas dalam penghuni baharu 10 Downing Street selama hampir satu abad. 

Pada usia 47 tahun, Truss kini mengambil alih pemerintahan daripada Johnson sebagai perdana menteri wanita ketiga dalam sejarah UK.

Liz Truss di samping suaminya, Hugh O’Leary. (FOTO Yahoo News UK)

Pemilik nama Mary Elizabeth Truss yang dilahirkan pada 26 Julai 1975 ini merupakan seorang ahli politik British yang telah menjadi Ahli Parlimen (MP) untuk South West Norfolk sejak 2010.

Beliau telah berkhidmat sebagai Setiausaha sejak 2021 dan Menteri untuk Wanita dan Persamaan sejak 2019.

Truss terkenal dengan pandangan libetarian tentang ekonomi dan perdagangan, yang mana beliau telah mengasaskan Kumpulan Ahli Parlimen Konservatif Free Enterprise, iaitu kumpulan pasaran bebas ahli parlimen yang memperjuangkan ekonomi yang lebihbercirikan keusahawanan dan lebih sedikit undang-undang pekerjaan.

Sebagai seorang ahli Parti Konservatif, beliau telah berpengalaman berkhidmat dalam pelbagai jawatan kabinet di bawah era kepimpinan Perdana Menteri David Cameron, Theresa May dan juga Boris Johnson.

Sedikit mengenai latar belakang peribadinya, beliau mengahwini akauntan, Hugh O’Leary pada 2000, dan mereka dikurniakan dua anak perempuan. – HARAKAHDAILY 6/9/2022

- Advertisement -