
Susunan ZIAUDDIN SHARUDDIN
Marcus Rashford menjaringkan dua gol ketika Manchester United mencatatkan empat kemenangan berturut-turut dan menamatkan permulaan sempurna Arsenal pada Liga Perdana musim ini dengan kemenangan 3-1 di Old Trafford, semalam.
Permainan bertempo pantas dan berkualiti tinggi ditentukan melalui dua gol Rashford selepas Bukayo Saka membatalkan gol pembukaan pemain penampilan pertama United, Antony.
Arsenal kekal di puncak liga dengan 15 mata hasil lima kemenangan, namun United kelihatan menemui semula keyakinan mereka selepas memulakan kempen dengan kekalahan mengerikan kepada Brighton dan Brentford, sekali gus membuktikan pendekatan pengurus dari Belanda, Erik ten Hag, membuahkan hasil.
Antony diletakkan di sayap kanan dengan Rashford di tengah, manakala Jadon Sancho di kiri. Cristiano Ronaldo bermula di bangku simpanan bersama pemain Brazil, Casemiro.
United menguasai babak awal permainan dengan sebahagian besar bola berada di kawasan Arsenal. Pemain berasal dari Denmark, Christian Eriksen, mempunyai peluang awal memecah kebuntuan, tetapi sepakan voli itu tersasar.
Permainan Arsenal selepas itu lebih lancar dan ini dibuktikan apabila Gabriel Martinelli meledak gol pada minit ke-12. Namun pengadil, Paul Tierney, selepas melihat paparan video, membatalkan gol itu kerana Eriksen dikasari oleh Martin Odegaard sebelum serangan balas dilancarkan.
Martinelli memaksa dua aksi menyelamat penjaga gol United, David De Gea, ketika pasukan pelawat mula menemui rentak, tetapi tuan rumah pula mencatatkan gol pertama pada minit ke-35.
Pemain Brazil, Antony yang ditandatangani dari Ajax minggu lalu, menerima hantaran di sebelah kanan dari Rashford dan dengan tenang melepaskan rembatan kaki kiri ke sudut paling bawah.
Arsenal menyamakan kedudukan pada minit ke-60 apabila Odegaard yang cemerlang menghantar bola ke arah Gabriel Jesus selepas dicabar oleh Raphael Varane, bola jatuh kepada Saka yang menjaringkan gol penyamaan.
United mungkin panik atau malap musim lalu, tetapi pada minit ke-66 kembali mendahului apabila Bruno Fernandes menemui Rashford dengan hantaran hebat dan penyerang England itu dengan yakin menewaskan Aaron Ramsdale.
Satu lagi serangan balas pantas pada minit ke-75 membawa kepada gol ketiga United dengan Eriksen yang cemerlang melepaskan bola ke Rashford untuk penyudah mudah.

Kemenangan empat perlawanan, termasuk kemenangan ke atas Liverpool dan Arsenal, benar-benar mengubah suasana di Old Trafford dan Ten Hag gembira dengan ketabahan pemainnya.
“Semangat pasukan ini, mereka boleh menangani sebarang halangan. Kami melakukannya dan ia benar-benar hebat serta menunjukkan mentaliti anda. Kami benar-benar membaikinya.
“Kami gembira dan berpuas hati dengan kemenangan ini, prestasi pemain menentang pasukan yang sangat bagus. Mereka bermain dengan sangat baik,” katanya.
United naik ke tangga kelima dalam kedudukan Liga Perdana, tiga mata di belakang Arsenal.
Pengurus Gunners, Mikel Arteta, pula bimbang pasukannya tidak memanfaatkan persembahan yang baik.
“Saya sangat kecewa kerana kami tidak memenangi perlawanan itu. Perlawanan ini mampu kami menang tetapi kami kurang berdisiplin dalam beberapa keadaan dan tidak cukup kejam di depan gawang.
“Saya beritahu pemain pada separuh masa bahawa jika bermain dengan lebih berani, kami akan memenangi permainan. Kedudukan ketika itu, 1-1 dan kemudian kami sepatutnya mendahului 2-1. Kekalahan ini memberi pengajaran besar. Jika mahu menang di sini, anda perlu melakukan segala-galanya dengan betul,” katanya.




















