
MEMBACA tulisan Presiden Umno, DS Ahmad Zahid Hamidi kelmarin, menyebabkan kita tergelak beberapa kali.
Naratifnya mudah, Muafakat Nasional tidak dapat dipertahan kerana salah PAS. Sedangkan PAS hari-hari sebut mahu berunding dan perkasakan Muafakat.
Umno? Hari-hari sebut mahu solo dalam PRU15. Dari sini sudah kita boleh nilai manakah parti yang tidak mahu bermuafakat.
Zahid juga masih lagi bermain dengan naratif PAS khianat Muafakat sebab sertai PN. Sedangkan Tok Mat, Timbalan Presiden Umno pernah berkata,
“PAS nak bekerjasama dengan parti mana-mana itu tak ada isu, kita tidak mengikat, Umno telah buat pendirian kita tidak akan menyertai PN, itu pendirian parti kita. PAS menghormati pendirian kita.
“PAS pula kata nak bersama untuk menyertai PN, kita juga menghormati pendirian PAS. Tak ada isu, saya harap orang tidak terkeliru perkara ini.”
Jelas dan nyata patah perkataan Tok Mat ini, masalah sekarang Zahidlah yang paling terkeliru atau buat-buat keliru. Boleh pula Zahid kata PAS khianati MN sebab bersama PN. Hodoh perangai kamu Zahid.
Lagi kelakar, Zahid mengatakan bagaimana Umno nak bersama BERSATU yang mahu hancurkan Umno dari luar dan dalam.
Habis tu Umno sedang bersama siapa sekarang sehingga membentuk Kerajaan Persekutuan, bermula dari Muhyiddin hingga Ismail Sabri. Bukankah bersama BERSATU? Lawak.
Bukankah Zahid juga yang tandatangani surat jemputan ajak BERSATU bersama MN sebelum ini. Inilah Muafakat Nasional yang sebenar, bukan hanya PAS dan Umno sahaja.
Zahid jangan tunding jari pada PAS, sedangkan andalah punca kelemahan Muafakat Nasional dengan penerokaan Jajaran Baharu. Bukan PAS yang kata, tapi bekas Pengarah Pilihan Raya Umno, Tajudin yang kata.
Hari ini Muktamar PAS berlangsung, tiada seorang MKT Umno yang hadir, sedangkan surat jemputan sudah diberikan. Soalnya siapa yang angkuh tidak menunjukkan cita penyatuan ummah?
Keangkuhan itu, Zahid nyatakan lagi mahu bergerak solo dalam PRU. Sedang Tok Mat pernah berkata dahulu,
“Yang penting bila diumum pilihan raya kita elak pertandingan tiga penjuru. Itu penting, kalau kita bertanding tiga penjuru kita kalah, yang menang nanti Pakatan Harapan.”
Apakah Zahid memang sengaja mahu membawa Umno kalah dalam PRU15 dengan berlakunya tiga penjuru? Dalam hal ini Tok Mat lebih bijaksana dari Zahid.
AHMAD FAHMI MOKHTAR
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 5/9/2022




















