112 korban banjir besar Sudan

Banjir besar yang melanda Sudan ketika ini sudah mengorbankan 112 nyawa. (FOTO Sada El badad)
- Advertisement -

Susunan ZULHAIDI MANSOR

GEZIRA, Sudan: Banjir besar akibat hujan lebat yang berterusan melanda telah menyebabkan kemusnahan di Sudan, dengan lebih 112 orang terkorban, 115 cedera dan beribu-ribu yang lain terjejas, dan pihak berkuasa mengisytiharkan darurat di enam wilayah paling teruk dilanda banjir di negara itu.

Jurucakap Majlis Kebangsaan bagi Pertahanan Awam Sudan, Abdel Jalil Abdelreheem pada Ahad (4 September) berkata, sebanyak 34,944 buah rumah musnah sepenuhnya manakala 49,060 sebahagiannya rosak, lapor TRT World

- Advertisement -

Hujan lebat biasanya turun di Sudan antara Mei dan Oktober setiap tahun, dan negara itu menghadapi banjir teruk setiap tahun yang memusnahkan harta benda, infrastruktur dan tanaman.

Krisis banjir tersebut pada tahun ini muncul ketika Sudan bergelut akibat pergolakan politik dan krisis ekonomi yang semakin meruncing, dengan keadaan diburukkan lagi oleh rampasan kuasa tentera pada tahun lalu yang diketuai oleh ketua tentera, Abdel Fattah al Burhan.

Penduduk Sudan kini memerlukan bantuan antarabangsa dalam menghadapi mala petaka banjir besar di negara itu. (FOTO aa.com.tr)

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), memetik angka yang dikeluarkan kerajaan Sudan, berkata, sejak seminggu lalu banjir setakat ini telah menjejaskan 226,000 orang di seluruh Sudan.

Menurut kenyataan agensi kanak-kanak PBB, UNICEF, timur Gedaref dan Kassala, negeri Kordofan Utara dan Selatan, negeri Sungai Nil dan wilayah Darfur adalah antara yang paling teruk terjejas di Sudan.

PBB juga memberi amaran bahawa banjir pada tahun ini boleh menjejaskan sehingga 460,000 orang di Sudan, yang jauh lebih tinggi daripada purata 388,600 orang terjejas setiap tahun antara 2017 dan 2021.

Kerajaan Sudan kini mengisytharkan negara itu dalam keadaan darurat selepas enam wilayah paling teruk dilanda banjir kali ini.
(FOTO en.trenz.az)

Terdahulu, Al Jazeera melaporkan bahawa pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan berkata pada Rabu (31 Ogos), sekurang-kurangnya 258,000 orang telah terjejas akibat banjir di 15 daripada 18 wilayah di Sudan.  

Menurut laporan wakil Al Jazeera, Hiba Morgan, ramai penduduk telah dipaksa keluar dari rumah mereka sejak hujan lebat melanda wilayah itu lebih dua minggu lalu.

“Gezira adalah salah satu negeri di mana kerajaan telah mengisytiharkan bencana. Berpuluh-puluh kampung telah ditenggelami air di sini sejak awal musim hujan, menyebabkan ratusan keluarga kehilangan tempat tinggal.

Sekurang-kurangnya 226,000 penduduk Sudan terjejas dengan mala petaka banjir yang melanda negara itu pada tahun ini. (FOTO Trend News Agency)

“Musim hujan telah disifatkan oleh ramai orang sebagai antara yang paling teruk pernah mereka lihat, dan hujan lebat telah menjejaskan hampir seluruh negara,” ujar Morgan.

Beliau menambah bahawa ramai orang telah mencari perlindungan di tanah yang lebih kering, tetapi mengatakan bahawa mereka masih belum menerima sebarang bantuan.

“Kami terbangun dari tidur apabila air mula memasuki rumah dan menyelamatkan apa sahaja yang kami mampu. Setiap jam kami terdengar rumah tumbang, atau sistem kumbahan atau tembok runtuh. Tiada apa-apa lagi (yang tinggal),” kata Adam Ismail, seorang penduduk Wad Alnaeim, kepada Al Jazeera.

Sebanyak 34,944 buah kediaman penduduk musnah sama sekali, manakala 49,060 lagi rumah rosak sebahagiannya akibat bencana banjir besar yang melanda Sudan pada tahun ini. (FOTO Sada El badad)

Seorang penduduk tempatan, Hamdan Tia, pula memberitahu Al Jazeera dia telah memasang penghadang, tetapi rumahnya tetap mengalami kerosakan besar akibat dilanda air banjir.

“Kami membawa keluar kanak-kanak dan perabot apa yang kami boleh tetapi rumah itu telah musnah. Kami membina penghadang dan masih mengalirkan air. 

“Sekarang kami bimbang tentang penyakit yang boleh dibawa oleh air seperti malaria dan jangkitan,” ujarnya. 

Penduduk Sudan yang terselamat dalam mala petaka banjir kini dilanda kebimbangan akibat jangkitan penyakit impak air banjir berkenaan. (FOTO CBS News)

Sementara, laporan Africanews pula menyebut bahawa seluruh kampung dinaiki air serta  kebanyakan ladang musnah di lokasi yang dilanda banjir besar, dan penduduk percaya, air banjir di sekitar kawasan itu menjejaskan kesihatan mereka menyebabkan ramai yang sakit tanpa bantuan perubatan.

“Banjir dan hujan lebat membanjiri 16 kemudahan kerajaan dan kira-kira 40 kedai, dan merosakkan sekurang-kurangnya 540 feddan (ekar) tanah pertanian di seluruh negara,” kata Abdul Rahim.

Pada 2020, pihak berkuasa mengisytiharkan Sudan sebagai kawasan bencana alam dan mengenakan keadaan darurat selama tiga bulan di seluruh negara selepas banjir dan hujan lebat mengorbankan kira-kira 100 orang dan menenggelamkan lebih 100,000 buah kediaman penduduk. – HARAKAHDAILY 5/9/2022

- Advertisement -