Peguam Negara jenis apa yang Azalina mahukan

- Advertisement -

DATO’ Sri Azalina Othman Said telah mengeluarkan kenyataan yang mampu melunturkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan di Malaysia.

Dengan memberi gambaran bahawa seseorang Perdana Menteri sepatutnya melantik Peguam Negara dari kalangan ‘orang dia’, seolah-olah Azalina ingin membawa satu konsep keadilan di mana Peguam Negara akan membuat keputusan mengikut telunjuk si penguasa politik.

Ini satu usaha buruk untuk merompak keadilan negara di siang hari tanpa rasa malu. Peguam Negara sepatutnya bebas dari mana-mana campur tangan politik, supaya sang penguasa yang bersalah, dapat dibawa ke muka pengadilan. 

Sejarah Peguam Negara di Malaysia

Untuk lebih memahami soal ‘kebebasan Peguam Negara’, penting untuk kita mengetahui sejarah mengenai kuasa Peguam Negara di negara kita. 

Perkara yang mungkin mengejutkan kita, sebenarnya Perlembagaan Negara kita pernah pada satu ketika dahulu memberikan perlindungan yang amat tinggi kepada Peguam Negara dalam menjalankan pendakwaan di mahkamah.

Perkara ini dicapai melalui dua perkara utama: 1) pelantikan dan 2) pemecatan.

Dalam soal pelantikan, pemilihan calon untuk menjadi Peguam Negara dilakukan oleh satu badan bebas yang dikenali sebagai ‘Judicial and Legal Service Commission’. Ahli politik tidak ada kuasa dalam menentukan siapa yang akan menjadi Peguam Negara.

Manakala dalam soal pemecatan, Peguam Negara hanya boleh dipecat dengan melalui proses yang sama dengan pemecatan Hakim di Mahkamah Persekutuan. 

Proses pemecatan ini hanya boleh dilakukan dengan membentuk satu tribunal bebas, yang dibarisi oleh sekurang-kurangnya 5 orang hakim, yang akan menyiasat dan memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong. Dan hanya melalui perkenan Yang di-Pertuan Agong, seseorang Peguam Negara itu boleh dipecat. 

Dua perkara ini menjadikan Peguam Negara ‘tidak terikat’ dengan mana-mana kuasa politik. Bebas untuk melakukan pendakwaan hatta kepada pemimpin paling berkuasa dalam negara. 

Malangnya, dari tahun 1960-1963, beberapa pindaan terhadap Perlembagaan telah dilakukan. Dan antara pindaan tersebut adalah dengan menarik balik perlindungan yang telah diberikan kepada Peguam Negara dari sebarang campur tangan politik. Jawatan Peguam Negara berubah sifat dari non-politikal, menjadi politikal. 

Reformasi di zaman Dato’ Seri Takiyuddin Hassan 

Menyedari kepincangan dalam sistem keadilan negara, Menteri dari PAS, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan semasa menjawat jawatan sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), telah memulakan langkah-langkah untuk memisahkan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya. 

Beliau bertegas langkah ini penting untuk mengelakkan dari berlakunya percanggahan kepentingan (conflict of interest). 

Azalina bergerak ke belakang

Berpandukan kepada sejarah Perlembagaan dan juga usaha reformasi oleh Dato’ Seri Takiyuddin Hassan, kenyataan Azalina amat dikesali kerana mengajak Malaysia berundur ke belakang dalam soal kebebasan pendakwaan di Malaysia. 

Janganlah hanya kerana pemimpin parti sendiri didakwa dan disabit bersalah, sampai tergamak menggadai prinsip keadilan di negara kita.

Azalina berulang kali menyebut ‘lawan tetap lawan’ dalam ucapannya. Suka saya balas dengan serangkap pantun:

Pemimpin yang asyik di awang-awangan,
Merasa diri kluster kayangan,
Angkuh menyeru ‘lawan tetap lawan’,
Malangnya takut kepada pendakwaan.  

MUHAMMAD NABIL ZULKIFLI 
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 30/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -