
Susunan YUSMAN AWANG
OAKLAND, California: Seorang budak lelaki berusia 12 tahun ditahan kerana disyaki menembak dan mencederakan seorang pelajar lain di sebuah sekolah di timur Oakland.
Pihak berkuasa Oakland berkata, selepas menerima panggilan telefon mengenai insiden tembakan itu, beberapa pegawai polis bergegas ke lokasi kejadian di sekolah Madison Park Academy di kawasan kejiranan Taman Sobrante kira-kira jam 1.30 tengah hari.
Ketua Polis Oakland, LeRonne Armstrong dalam sidang akhbar pada Isnin (waktu tempatan) berkata, polis kemudian menemui seorang budak lelaki berusia 13 tahun dengan kesan luka ditembak, dan seorang lagi budak lelaki melarikan diri itu tetapi dia segera ditahan, lapor CBS News.
“Pelajar yang cedera dimasukkan ke hospital dalam keadaan stabil. Kedua-dua mereka adalah pelajar di sekolah , yang mempunyai kira-kira 750 pelajar,” ujarnya yang bagaimanapun tidak memberikan butiran lain serta-merta kerana kes berkenaan masih dalam siasatan.
Tambah Armstrong, kejadian itu merupakan sesuatu yang menyedihkan kerana ia membabitkan budak berusia 12 tahun membawa pistol ke sekolah.
“Tiada ibu bapa yang mahu menghantar anak mereka ke sekolah dan kemudian mendapat panggilan telefon memaklumkan anak anda telah ditembak. Ia adalah perkara paling teruk yang anda boleh dengar.
“Namun, terdapat terlalu banyak senjata api di jalanan negara ini dan hanya menunggu masa sebelum insiden seperti ini berlaku lagi,” katanya sambil menggesa ahli keluarga memastikan kanak-kanak di bawah jagaan mereka tidak melibatkan diri dengan senjata api.
Kesatuan guru sekolah berkenaan dalam satu kenyataan berkata pihak mereka sangat ‘terkejut, sedih dan tertekan’ dengan kejadian itu, lapor Fox News pula.
“Kami komited untuk melakukan apa sahaja agar perkara ini tidak berlaku lagi,” ujar Keith Brown, presiden Persatuan Pendidikan Oakland, melalui laman webnya mewakili hampir 3,000 guru daerah Oakland, kaunselor, jururawat, ahli psikologi, pustakawan, pakar patologi pertuturan , pekerja sosial dan guru ganti.
Golongan pendidik mempunyai kebimbangan besar terhadap sumber yang sedia ada untuk menyokong keperluan pelajar kami.
“Sekolah awam di negara ini seharusnya menjadi tempat selamat untuk pelajar, bebas daripada ketakutan terhadap keganasan senjata api,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/8/2022




















