
Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN dan NORHANA MAT ZIN
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) perlu menyampaikan maklumat kejayaan yang dicapai pemerintahan PN untuk diketahui oleh rakyat.
Presiden PAS, Tuan Guru Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata ini meliputi kejayaan Menteri Kabinet, kementerian yang PN wakili di peringkat Pusat dan kerajaan negeri.
“Tadi Presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin) berucap, rakyat tak tahu (kejayaan pemerintahan PN). Sampaikan kejayaan menteri-menteri kita. Kalau dia (rakyat) tahu kejayaan kita walaupun memerintah dalam masa yang singkat. Kejayaan negeri yang kita perintah di Sabah, Kelantan, Terengganu dan Kedah.
“Sampaikan maklumat melalui media kita, media sosial. Rakyat tahu kita bukan kerajaan kosong. Kita berjaya dalam masa yang singkat,” katanya ketika ucapan penggulungan di Konvensyen PN 2022 di MAEPS Serdang dekat sini, hari ini.
Presiden PAS juga memberikan beberapa panduan kepada PN, termasuk mengemukakan manifesto yang dapat ditunaikan dan bukan berjanji yang mustahil serta tidak dapat ditunaikan.
Katanya, semua pihak mahukan kemenangan dalam perjuangan dan Allah SWT mengingatkan supaya bersedia dengan kekuatan sekadar kemampuan masing-masing.
“Ini bermakna kekuatan itu tidak semestinya sama dengan apa yang ada pada musuh. Kalau kekuatan lebih sekali pun, tak kena caranya tak boleh menang.
“Sediakan kekuatan mengikut kemampuan bersama keikhlasan untuk menegakkan kebenaran memerlukan strategi yang baik. Pengurusan yang sebaik-baiknya untuk menuju kemenangan itu,” katanya.
Abdul Hadi juga menyarankan supaya memperkukuhkan perpaduan kerjasama di titik persamaan, bertolak ansur, bertawaduk dalam perbezaan pendapat tanpa berpecah, menghabiskan masa dengan krisis.
Katanya, mesej perlu disampaikan kepada rakyat yang mengundi dengan kefahaman dan kesedaran serta bahasa yang mudah.
Beliau juga menggesa menolak budaya menipu rakyat kerana rakyat tidak boleh ditipu selama-lamanya, selain kerajaan yang ditubuhkan dengan menipu tidak boleh bertahan kerana perjuangan bukan sahaja untuk menang, tetapi mempertahankan kemenangan itu.
“Rakyat boleh silap kerana diperbodohkan. Jangan perbodohkan rakyat. Perbodoh sama dengan menipu. Peringatkan rakyat jangan ditipu lagi, jangan diperkenakan lagi. Sudah cukup. Nabi Muhammad SAW bersabda: Tidak harus orang beriman disengat dua kali daripada satu lubang,” katanya.
Sementara itu, katanya Allah SWT mengurniakan negara dengan hasil yang banyak dan melimpah ruah, tetapi gagal diurus dengan baik kerana ketirisan, salah laku, salah guna kuasa, rasuah, kekayaan berpusing di kalangan yang tertentu sahaja.
“Allah berfirman yang bermaksud: Jangan harta negara berpusing kepada orang-orang yang tertentu sahaja. Mesti secara adil kepada rakyat (Al-Hashr:7).
“Kalau kita dapat sampaikan mesej ini kepada semua, InsyaAllah rakyat akan menyokong kita. Kita akan ditolong oleh Allah SWT,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/8/22




















