
Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN dan NORHANA MAT ZIN
KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari, menegaskan bahawa anak muda kini tidak memikirkan ideologi politik dan sebaliknya mempunyai beberapa agenda yang PN perlu tawarkan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurutnya, pertama, anak muda yang berumur antara 18 hingga 40 tahun mahukan jaminan pendidikan yang tidak terbeban dengan pinjaman pengajian.
Kedua, katanya mereka mahukan pembelian rumah pertama dan ketiga, mahukan jaminan kerjaya yang menjamin kehidupan masa hadapan, manakala keempat, mereka mahukan program atau skim pembelian kenderaan yang boleh menjamin keselesaan hidup.
“Mereka berfikir untuk jangka masa 30 hingga 40 tahun akan datang. Anak muda tidak fikirkan ideologi politik. Bagi mereka, parti politik adalah di tangga kedua. Tangga pertama, adalah jaminan mereka untuk masa hadapan,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Pusat berkata demikian ketika ucapan penggulungan di Konvensyen PN 2022 di MAEPS Serdang dekat sini, hari ini.
Sehubungan itu, Ahmad Fadhli mencadangkan PN membentangkan manifesto anak muda dengan seberapa segera agar dapat menawan hati anak muda supaya PN dapat membentuk kerajaan dalam PRU15 akan datang.
“Kita percaya bahawa lawan kita pada hari ini berada pada situasi yang sangat-sangat lumpuh dengan satu persatu mungkin akan ke dalam. Tetapi kita lihat berhari-hari dibilang, nasib yang malang kerana kesalahan yang mereka lakukan sebelum ini.
“Justeru lawan kita yang namanya Umno, Barisan Nasional (BN) sedang berada dalam situasi yang sangat lemah dan begitu juga Pakatan Harapan (PH). Maka rakyat yang rasional, InsyaAllah akan memilih PN.
“Namun hendaklah kena dengan cara dan usahanya. Kegilaan adalah melakukan perkara sama secara berulang-ulang dengan mengharapkan mendapat keputusan berbeza.
“Kita telah melakukan ramuan yang sama di Melaka dan Johor, kita gagal. Adakah ramuan yang sama kita akan gunakan sekali lagi, dan kita akan terus gagal. Mesti sama sekali tidak. Justeru itu, kita perlukan satu ramuan yang berbeza,” katanya.
Beliau percaya bahawa PN berada pada trek yang betul dengan gerak kerja bermula apabila pulang ke kampung halaman masing-masing untuk memantapkan jentera bagi menghadapi PRU15.
Sama ada tahun ini atau tahun hadapan, katanya PRU15 akan dihadapi dengan kekuatan PN untuk mara ke Putrajaya.
Bagaimanapun, katanya ramuan yang paling baik untuk PRU15 adalah satu lawan satu dan bimbang, jika masih mengulangi kesalahan lama, iaitu isu pertandingan tiga penjuru, PN tidak akan mampu mara ke Putrajaya dengan baik.
“Rundingan elok perlu dilakukan. Kalaulah seandainya namanya Umno, BN ada sedikit perubahan, kita fikir rundingan perlu dibuat,” katanya.
Beliau berkata, PN perlu memastikan tragedi 2018 tidak berulang dan walaupun suasana konvensyen pada hari ini bukan untuk melawan BN, tetapi rasionalnya kalau bertempur tiga penjuru, adakah kemenangan boleh dicapai dan ini memerlukan kajian terperinci. – HARAKAHDAILY 27/8/22




















