
Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN dan NORHANA MAT ZIN
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mempunyai suatu ekosistem budaya, politik dan pengurusan kerajaan yang bebas rasuah dan berintegriti untuk melangkah ke hadapan dengan lebih yakin dan gagah.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengalaman lalu mengajar bahawa budaya politik yang dilingkari amalan rasuah merupakan suatu kemungkaran yang rosak lagi merosakkan.
Katanya, amalan “ambil apa yang sempat” atau “rembat apa yang dapat” atau “sakau-menyakau” tidak boleh menjadi budaya dalam PN.
“Ini budaya yang salah dari segi hukum agama, undang-undang, moral dan etika masyarakat. Amalan ini jika dibiarkan membarah boleh menjadi punca kejatuhan bukan sahaja parti politik, tetapi masyarakat, negara dan tamadun,” katanya ketika ucapan dasar di Konvensyen PN 2022 di MAEPS Serdang dekat sini, hari ini.
Beliau yang juga Presiden Bersatu berkata, transformasi budaya politik yang bebas rasuah mesti bermula dari diri ahli politik dan dalam parti sendiri.
Jika dilihat dari sudut yang positif, katanya PN adalah sebuah gabungan parti politik yang baharu, lantas berpeluang untuk memupuk dan membina budaya politik baharu yang berlandaskan kepatuhan kepada nilai-nilai agama, moral dan etika.
“Saya tahu PAS mempunyai sistem tarbiyyah yang tersendiri. Begitu juga Bersatu sebagai sebuah parti baharu, kita telah memulakan siri latihan untuk menerapkan dalam kalangan ahli suatu sistem nilai yang murni yang mesti menjadi panduan dalam menentukan sikap dan tatakelakuan ahli,” katanya.
Beliau mahu subjek transformasi politik yang bebas rasuah dan berintegriti menjadi agenda utama PN yang boleh dibahas dengan lebih lanjut dalam konvensyen ini dan dikemukakan syor-syor untuk diteliti oleh Majlis Tertinggi PN dan diambil tindakan susulan.
Namun, katanya terdapat garis pemisah yang amat kabur antara pendanaan politik dan rasuah. Oleh itu, dalam usaha untuk melaksanakan transformasi politik bagi mewujudkan budaya politik yang bebas rasuah dan berintegriti, sebuah Akta Pendanaan Politik wajar digubal.
“Sebuah jawatankuasa di peringkat PN boleh ditubuhkan untuk mengkaji cadangan ini dengan lebih terperinci sebelum dikemukakan kepada kerajaan,” katanya.
Muhyiddin juga membincangkan perkembangan positif mutakhir ini berhubung kebebasan badan kehakiman di negara ini.
Beberapa dekad lalu, katanya kebebasan badan kehakiman di Malaysia merupakan suatu topik yang hangat dibicarakan di dalam negara dan luar negara.
“Pada tahun 80-an, pernah berlaku krisis yang serius antara badan eksekutif dan badan kehakiman di negara kita. Kebebasan badan kehakiman dipersoalkan oleh sebab wujud dakwaan campur tangan oleh badan eksekutif dalam urusan mahkamah.
“Namun, selepas itu telah berlaku perubahan positif berhubung kebebasan badan kehakiman di negara kita. Hakim dilindungi oleh undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan dalam menjalankan tugas dan fungsi mereka menegakkan keadilan,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/8/22
.




















