
SAYA merujuk kepada penganjuran konsert penyanyi antarabangsa Billie Eilish yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam kelmarin. Media massa memaklumkan bahawa konsert itu menyaksikan sambutan hangat orang ramai yang membanjiri perkarangan stadium sejak pagi, walaupun konsert hanya akan berlangsung di sebelah malam.
Selain itu, kita dikejutkan bahawa terdapat sembilan kali penganjuran konsert yang melibatkan penyanyi antarabangsa akan diadakan selepas ini. Situasi ini sangat mengecewakan berikutan umum mengetahui penganjuran konsert berskala besar seperti ini lebih mendatangkan kemudaratan daripada kebaikan.
Kita perlu melahirkan kebimbangan terhadap kesan penganjuran konsert ini berikutan golongan belia adalah kumpulan yang paling ramai menghadiri konsert ini. Selain dari konsert ini menggalakkan pergaulan bebas di antara lelaki dan wanita, ia juga akan menyuburkan perasaan kecintaan terhadap budaya Hedonism atau pandangan yang cenderung kepada keseronokan semata-mata.
Di kala negara kita baru memasuki fasa endemik dan menyaksikan negara kita diuji dengan musibah kesihatan dan ekonomi, seharusnya negara kita yang majoritinya penganut beragama Islam banyak memuhasabahkan diri dan mendekatkan diri kepada Allah Taala agar kehidupan kita dipenuhi dengan keberkatan dalam menuju ke dunia akhirat nanti.
Saya ingin mencadangkan pihak berkuasa seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM) memperketatkan syarat kelulusan penganjuran konsert agar budaya kuning yang dibawa masuk dari negara Barat dapat dikekang. Saya berharap ketegasan dari pihak kerajaan dapat mengurangkan kesan gejala sosial yang semakin membarah pada waktu ini.Kita memahami fitrah manusia yang memerlukan hiburan, namun seharusnya hiburan itu dilaksanakan mengikut lunas syariat yang telah diletakkan oleh Allah Taala dan Nabi Muhamad S.A.W.
“Islam Menyatukan Ummah”
YB DATO’ CHE ABDULLAH MAT NAWI
Ahli Parlimen Tumpat – HARAKAHDAILY 20/8/2022




















