
KOTA BHARU: Syarikat penerbangan AirAsia pernah menyatakan minat untuk menjadikan Kelantan sebagai hab serantau di mana pihak kerajaan negeri telah merizabkan kawasan seluas 500 ekar di Sungai Bagan, Machang.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah berkata, bagaimanapun suasana politik yang tidak kondusif ketika itu di mana wujud halangan pihak tertentu menyebabkan cadangan lapangan terbang antarabangsa itu dibatalkan.
“Kerana dari segi jarak perjalanan ke Indochina, ke sebelah Jepun dan China itu sendiri memang dekat. Sekarang ni pun lalu kut Kelate juga. Daripada Kuala Lumpur itu nak gi ke Indonchina, nak gi ke China sendiri, nak gi ke Jepun dan sebagainya lalu kut Kelantan gak,” beritahunya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Dialog Kemakmuran Ekonomi dan Pembangunan Negeri Kelantan di Dewan Perniagaan Cina, Jalan Kebun Sultan, di sini malam kelmarin.
Pun demikian ujarnya, dengan suasana politik baharu kini perkara tersebut boleh dibincangkan semula idea tersebut agar dapat direalisasikan sebagaimana cadangan pada tahun 2018 itu.
Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Negeri, Dato’ Hanifa Ahmad pula memberitahu status antarabangsa tersebut akan kembali semula ke negeri ini.
Menurut beliau, Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob bersetuju untuk Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa dinaik taraf kepada lapangan terbang antarabangsa.
Jelas beliau, perkara tersebut telah dicadangkan sendiri oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di mana tumpuan awal adalah kepada negara-negara Asia Tenggara terlebih dahulu.
“Sebab passenger (penumpang) kita ni apabila airport (LTSIP) ni dapat dibesarkan satu tahun, (dari seramai) 1.6 juta setahun passenger akan increase (meningkat) kepada 4 juta passenger setahun.
“Maka peluang untuk kita kembangkan servis airport (perkhidmatan lapangan terbang) kita ke South East Asia (Asia Tenggara) dan seterusnya international (antarabangsa) ni cukup baik.
“Sebab kalau kita banding, kita duduk nombor tiga domestik. Satu Kuala Lumpur, Kuala Lumpur – KLIA, (kedua) Penang, (dan ketiga) kitalah. Ramai orang Kelantan ni kaya. Tapi tak tahulah, orang kata miskin, tak declare income tax (isytihar cukai pendapatan) barang kali.
“Penuh kapal terbang itu, Malindo, AirAsia, MAS, Fire fly dan sebagainya penuh (penumpang Kelantan),” ujar beliau memberitahu proses pembesaran LTSIP sedang berlaku kini. – HARAKAHDAILY 28/7/2022




















