
Oleh YUSMAN AWANG
KUALA LUMPUR: Selepas lebih dua jam gangguan elektrik berlaku di beberapa negeri seluruh Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB) akhirnya telah berjaya memulihkan sepenuhnya bekalan elektrik kepada semua kawasan yang mengalami masalah berkenaan menjelang jam 3.02 petang.
Pihak TNB melalui hantaran Facebook, TNB Careline berkata, kebanyakan kawasan terjejas berjaya dipulihkan secara berperingkat seawal 20 minit gangguan berlaku hasil usaha berterusan Pasukan Teknikal TNB.
“Siasatan TNB mendapati gangguan bekalan yang bermula pada jam 12.39 tengah hari ini berpunca di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North di Yong Peng, Johor.
“Ia telah mengakibatkan kehilangan beban sebanyak 2.2GW (Gigawatt) yang merupakan 10 peratus daripada keseluruhan bekalan di Semenanjung Malaysia,” ujar kenyataan tersebut.
Sehubungan TNB memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan elektrik selama lebih 2 jam tersebut.
“Untuk sebarang pertanyaan mengenai gangguan bekalan elektrik, boleh menghubungi talian TNB Careline di 15454,” tambah kenyataan tersebut. – HARAKAHDAILY 27/7/2022




















