
Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, yang perbahasannya di Dewan Rakyat, sebelum ini lemah lembut dan jarang menimbulkan kontroversi, hari ini, menyebabkan Ahli Parlimen pembangkang, terutama dari Amanah, marah besar.
Beliau berucap sebagai pembahas terakhir usul melanjutkan Subseksyen 4(5) Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) (Akta 747) selepas Khalid Abd Samad (Amanah-Shah Alam).
Selepas perbahasan Khalid yang tidak henti-henti membidas PAS, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, berkata: “Oleh kerana PAS disebut, saya kena jemput Yang Berhormat (YB) Bachok sebagai pembahas terakhir.
Nik Mohamad Abduh memulakan perbahasan dengan menyatakan bahawa tajuknya hanya satu, iaitu adakah SOSMA terkeluar daripada landasan keadilan Islam.
“Yang pertama, saya hendak cakap pasal nas. Saya tak hendak sebut nas (dari segi) perbincangannya. Pertama, hak kerajaan untuk menahan individu yang tidak bersalah, nas menyatakan jelas itu salah kerajaan.
“Yang kedua, hak kerajaan menahan individu yang bersalah sebagai hukuman, nas adalah membenarkan. Yang ketiga, hak kerajaan menahan individu yang disyaki bersalah untuk siasatan, nas ada membenarkan,” katanya.
Bagaimanapun ketika hendak menyatakan perkara keempat, Khalid mencelah dengan berkata: “Dia punya proses (nas) macam mana”. Namun Nik Mohamad Abduh, meminta Ahli Parlimen Shah Alam supaya diam dahulu menyebabkan keadaan kecoh.
Yang Dipertua: YB…YB Shah Alam, tadi YB Shah Alam, tadi Bachok tak kacau (ganggu perbahasan).
Shah Alam: Pasal dia yang terakhir, dia tak beri kita jawab, inilah masalahnya.
Bachok: Nak panjang, pendek, boleh di luar, masa takda.
Ahli Parlimen Sepang mencelah dalam keadaan yang sangat bising.
Yang Dipertua: Sepang…Sepang
Bachok: Bagi masa setengah jam saya sanggup, setengah jam saya sanggup berbahas di sini.
YDP: Sepang…Sepang..keadaan kelam kabut
Keadaan itu tidak dipedulikan oleh Nik Mohamad Abduh yang meneruskan perbahasan dengan berkata: “Yang keempat, hak kerajaan untuk menahan individu yang disyaki sebagai satu hukuman, nas tidak membenarkan.
Ini diikuti dengan perbahasannya mengenai tahanan apabila beliau menyatakan bahawa ada dua tahanan yang dibenarkan Islam dan mempunyai nas.
“Yang pertama, tahanan sebagai hukuman, masuk penjara ada nas. Itu hukum takzir. Kedua, tahan untuk siasatan. Ada nas daripada Rasulullah SAW, bukan hukuman, tahan beberapa hari untuk siasatan, ada nas. Daripada Rasulullah SAW dan ijmak ulama.
“Kemudian Tuan Yang Dipertua, dalam perbahasan orang yang ditahan ini ada tiga. Dia ditahan dalam keadaan dia dikenali baik. Misalnya kita orang politik, katakanlah kita orang politik baik. Ada perbincangannya.
“Kedua, rakyat yang tidak dikenali baik atau buruk, ada hukumnya. Ketiga, rakyat yang ditahan, dia dikenali kejahatannya, dia pernah ditahan atas hukuman. Saya nak ambil rakyat biasa yang ditahan, kita tak tahu dia baik atau buruk sebab dia orang biasa,” katanya.
Nik Mohamad Abduh berkata, ulama membahaskan tempoh penahanan untuk siasatan, ada dua pandangan ulama dengan yang pertama hendaklah bertempoh dan ulama itu, antaranya Abu Abdullah Al Zubaidi, dari mahzab Syafie menyatakan kadar tahanan tidak boleh melebihi 30 hari untuk siasatan.
Pandangan kedua, katanya kebanyakan ulama menyatakan kerajaan berhak untuk menahan untuk tempoh selama mana yang dikehendaki asalkan demi kemaslahatan awam.
“Saya berhenti setakat ini Yang Dipertua untuk menyatakan bahawa SOSMA tidak keluar dari landasan Islam, diikuti dengan kekecohan apabila Ahli Parlimen pembangkang menjerit-jerit, manakala Yang Dipertua Dewan Rakyat berulang-ulang menyebut Kota Raja…Kota Raja (Mohamad Sabu).
Yang Dipertua Dewan Rakyat kemudian membenarkan M Karupaya (PH-Padang Serai) menjadi pembahas terakhir, namun peringkat awal ucapannya ditenggelami hiruk pikuk beberapa Ahli Parlimen pembangkang yang masih tidak berpuas hati dengan perbahasan Nik Mohamad Abduh. – HARAKAHDAILY 26/7/22




















