Israel dipenuhi beribu ‘bencana’ lubang benam

Kejadian lubang benam yang berlaku di kawasan tempat letak kereta hospital Jerusalem, Israel. (FOTO Fail CNN)
- Advertisement -

Susunan ZULHAIDI MANSOR

JERUSALEM: Kejadian seorang lelaki maut ketika menghadiri parti di sebuah villa selepas disedut sejauh 13 meter (42.6 kaki) ke dalam lubang benam (sinkhole) yang terbentuk di dasar kolam renang baru-baru ini, membuktikan fakta tentang bencana maut yang menanti di Israel.

Menurut laporan news.com.au, lubang benam boleh membentuk lubang di dalam tanah apabila air melarutkan batu; dan tanah di kawasan penempatan Israel terdedah kepada lubang benam kerana kehadiran garam batu yang mudah larut dalam air.

- Advertisement -

Kejadian itu juga membuktikan kebenaran kenyataan penyelidik kanan Institut Geologi Israel, Ittai Gavrieli  yang memberitahu Agence France-Presse (AFP) pada tahun lalu bahawa terdapat beribu-ribu lubang benam di dalam dan sekitar Israel, termasuk di sekitar pantai Laut Mati.

Dalam kejadian itu, lapor The Guardian, polis Israel telah menahan pasangan lelaki dan wanita yang merupakan pemilik kediaman dan kolam renang yang menganjurkan parti tersebut, kedua-duanya berusia enam puluhan, disyaki menyebabkan kematian secara cuai.

Kejadian lubang benam di Israel kali ini agak menggemparkan kerana ia menyebabkan kematian. (FOTO AP)

Kedua-duanya  telah ditangkap pada malam Khamis lalu dan mahkamah memutuskan untuk membebaskan mereka pada Jumaat di bawah ‘syarat-syarat sekatan tahanan rumah’. selama lima hari.

Polis berkata, mangsa, Klil Kimhi, 32, dari Tel Aviv ditemui mati oleh pihak polis, kru kecemasan dan tentera melakukan operasi pencarian selama empat jam.

NBC News pula melaporkan insiden itu berlaku semasa parti persendirian yang dianjurkan pasangan berkenaan dikenali sebagai Natan dan Rachel Meller di kediaman mereka di bandar Karmi Yosef, 25 batu di tenggara bandar Tel Aviv.

Tanah di kawasan penempatan Israel terdedah kepada lubang benam kerana kehadiran garam batu yang mudah larut dalam air. (FOTO Yahoo News)

Menurut laporan itu, rakaman video telefon bimbit dari tempat kejadian menunjukkan pelampung dan air disedut ke dasar, di tengah kolam, ketika beberapa orang yang duduk di tepi kolam menjerit dalam bahasa Ibrani. 

“Parti itu dihadiri hampir 50 orang, di mana enam daripadanya berada di kolam itu, dan juga melaporkan bahawa pemilik rumah telah membina kolam itu tanpa pelesenan yang sewajarnya,” ujar laporan berkenaan.

Sementara menurut laporan news.com. au. lagi, seorang tetamu parti memberitahu bahawa paras air di dalam kolam renang  tiba-tiba mulai surut dan sebuah  lubang kemudian terbuka membentuk pusaran yang menghanyutkan dua orang ke dalamnya.

Mangsa (gambar kecil) yang terbunuh dalam kejadian lubang benam di kolam renang, Klil Kimhi di Karmi Yosef, Israel baru-baru ini. (FOTO timesofisrael)

Aviv Bublil, yang diupah sebagai penyelamat di parti persendirian itu berkata, “Saya nampak dua orang … dua orang hilang.”

Selain, Kimhi yang ditemui maut, menurut laporan Jerusalem Post memetik kenyataan paramedik, Uri Damari sebagai berkata, seorang lagi mangsa, lelaki berusia 34 tahun berjaya memanjat keluar dari lubang benam berkenaan dengan mengalami kecederaan ringan di kepala dan kakinya.

Terdahulu, pada 7 Jun 2021, tiga buah kereta yang diparkir di tempat letak kereta hospital Jerusalem hilang disedut ke dalam lubang benam dalam kejadian yang dikatakan berpunca daripada terowong lebuh raya yang digali berhampiran, namun tiada laporan mengenai sebarang kecederaan atau kehilangan jiwa. -HARAKAHDAILY 26/7/2022.

- Advertisement -