
Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mempertimbangkan keadaan suri rumah yang bekerja mengendalikan perniagaan secara dalam talian, sama ada layak untuk membuat tuntutan melalui Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, berkata ramai suri rumah hari ini, kadang-kadang mendaftar untuk mengusahakan perniagaan secara dalam talian, menjual barangan secara dropship dan sebagainya.
“Apabila mendaftar dalam Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), jika mengikut akta ini, mereka tidak layak untuk menerima faedah tersebut sedangkan pendaftaran itu mungkin sekali gus, tetapi mereka sudah tidak aktif dan tiada pendapatan.
“Adakah suri rumah yang bekerja dari rumah sebagai penjual secara dalam talian ini, masih layak untuk tuntutan begini,” katanya ketika membahaskan RUU Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 di Dewan Rakyat, hari ini
Ahmad Fadhli berkata, jika tidak layak, beliau mencadangkan supaya suatu proses pemeriksaan semula, sama ada mereka adalah suri rumah atau pengusaha walaupun berdaftar dengan SSM kerana mungkin syarikat yang didaftarkan sudah tidak aktif.
Sementara itu, katanya beliau dimaklumkan bahawa melalui RUU ini, suri rumah menikmati rawatan perubatan di hospital awam, namun kadang-kadang hospital milik kerajaan sentiasa penuh dan sesak.
“Soalan saya, bolehkah diperluaskan untuk pencarum memilih menerima rawatan di klinik kecil swasta dengan bayaran yang agak minimum, kadang-kadang untuk demam dan hanya sekadar RM10-RM15. Adakah di sana ada suatu langkah untuk perluaskan kepada rawatan seperti ini,” katanya.
Beliau juga membangkitkan Seksyen 27 dalam RUU itu, iaitu jika pencarum meninggal dunia selepas menuntut faedah hilang upaya kekal atau keuzuran, faedah tidak akan diterima oleh penama atau pewaris.
Menurutnya, ini satu perkara yang perlu diperbaiki. Sebagai contoh, katakan seorang pencarum layak untuk menuntut wang caruman. Apabila dia membuat tuntutan dan dalam proses wang itu hendak sampai kepadanya, tiba-tiba dia meninggal dunia.
“Apa yang saya faham dalam Seksyen 27, dia sudah tidak layak untuk menerima wang itu. Ini saya rasa perlu diperhalusi kerana apabila sudah layak untuk terima, tinggal lagi masih belum terima, wang itu sepatutnya sudah menjadi miliknya. Sepatutnya apabila meninggal dunia, wang itu boleh diterima oleh warisnya,” katanya.
Katanya, suri rumah adalah manusia yang sering berkorban untuk kelangsungan rumah tangga, satu pekerjaan yang tidak ada cuti dan tidak boleh minta cuti dan satu pekerjaan yang tidak ada cuti sepanjang tahun.
“Anda (suri rumah) bekerja 365 hari, 24 jam, 7 hari tanpa henti ialah pekerjaan bernama suri rumah. Sebab itulah sesetengah penulis, mereka mentafsirkan suri rumah ini sebagai Pengurus Domestik kerana bukan hanya menguruskan rumah semata-mata, tetapi menguruskan rumah tangga untuk kelangsungan sebuah kebahagiaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/7/22




















