
ALOR SETAR: Kedah sedang menuju kepada sebuah negeri industri, namun tidak pernah meninggalkan pertanian di mana kedua-dua sektor akan melonjakkan pencapaian Kedah sebagai kuasa besar Malaysia suatu hari nanti.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penanaman padi lima kali dua tahun yang dirancang akan dipertingkatkan kelak kepada enam kali dua tahun dan ketika itu Malaysia tidak perlu lagi mengimport beras.
Menurut beliau, di Kedah hanya baharu 1,000 hektar melaksanakan penanaman lima kali dua tahun daripada sekitar 130,000 hektar seluruh negeri ini dan negara pula memiliki sekitar 600,000 hektar kawasan tanaman padi.
Maklumnya, menerusi Lembaga Kemajuan Muda (MADA) dipengerusikan Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman baharu sahaja pulang dari Vietnam melihat usaha dan kejayaan penanaman padi di negara itu.
Bentang Sanusi, Vietnam mempunyai sekitar 10 juta hektar kawasan penanaman padi di mana 25 peratus pengeluaran padi adalah untuk beras kegunaan domestik, manakala 75 peratus lagi bagi permintaan eksport.
Perkara tersebut dibentangnya pada Amanat Khas Presiden PAS dan Taklimat Kerajaan Negeri Kedah di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini malam kelmarin.
“Yang menarik sekali ialah tidak ada subsidi sekupang pun kepada petani daripada kerajaan (Vietnam), tapi depa (mereka) boleh tanam. Hat ni hairan ni lagu mana (bagaimana) kita nak buat? Insya-Allah tuan-tuan kita akan boleh buat. Try (cuba) dulu lima kali. Kemudian kita pergi pada enam kali.
“Kalau kita dapat tanam lima kali dua tahun, pengeluaran padi bagi Malaysia akan mencecah 80 peratus, hanya perlu import lagi 20 peratus. Kalau pergi enam kali dua tahun, tak perlu import lagi, semua beras adalah keluaran dalam negeri kita. Inilah kita bercakap tentang food security yang sedang dihadapi dunia hari ini.
“Pada suatu ketika, semua negara tidak akan menjual makanan kepada negara lain. Hat inilah yang sedang kita tangani. Semoga kita menghadapi pada ketika itu, apabila kita sudah berupaya untuk menyediakan makanan sendiri dihasilkan dalam negeri kita untuk seluruh rakyat kita.
“Kita akan merdeka yang sebenarnya. Pada masa itu kalau kita ada duit berguni-guni pun tak dak siapa nak jual makanan kat kita, duit kita tidak akan ada nilai,” ujarnya menyatakan kesungguhan Kedah untuk merealisasikan usaha ke arah itu.
Beritahu beliau, terdapat seluas 30,000 hektar kawasan penanaman padi di luar kawasan MADA sedang diusahakan penambahbaikan kepada pengairan dan penghasilan benih yang lebih cepat matang untuk berupaya mengejar penghasilan padi enam kali dua tahun itu. – HARAKAHDAILY 25/7/2022




















