Al-Quran Dusturuna, al-Rasul Qudwatuna

- Advertisement -

TIDAK pasti sama ada kita sedar atau tidak, usaha menjauhkan umat dari al-Quran dan Hadis itu sedang rancak berlangsung dengan pelbagai dalih yang kedengaran lunak. Realitinya tiada siapa yang berpegang kononnya memadai al-Quran dan Hadis sahaja tanpa ulamak. Itu adalah andaian yang diada-adakan.

Barangkali ada yang menjadikan pendapat literalis sebagai contoh dalam hal ini. Sedangkan adalah amat dangkal jika kita mengambil kira kefahaman orang jahil yang tidak muktabar, lalu menjadikannya sebagai alasan untuk mencederakan kaedah umum dalam beragama.

Hakikatnya semua maklum untuk faham kehendak wahyu kita tidak boleh lari dari syarahan ulamak. Yang jadi masalahnya adalah, segelintir kelompok yang fanatik dalam bermazhab hanya mengiktiraf ulamak mazhabnya sahaja. Sementara ulamak dari mazhab lain tidak diiktiraf sama sekali. 

Sikap fanatik tersebut hingga memasukkan nama-nama ulamak besar lain ke dalam mazhab sanjungannya. Kegopohan sedemikian menatijahkan kecuaian dalam meneliti kronologi dan manhaj ulamak yang cuba dipergunakan tadi. Dalam erti kata lain, lebih-lebih, melebihi tuan punya badan.

Disebabkan itu muncul tuduhan dalam wacana yang sepatutnya ilmiah, tetapi diuruskan dengan sentimen kononnya aliran selainnya anti ulamak. Sikap mahu memonopoli nama para ulamak sepanjang zaman agar semua mereka mewakili mazhabnya, adalah sikap merugikan yang akan mengkelamkan wacana ilmu dalam kalangan umat Islam. 

Perkara Ma’lum Min al-Din bi al-Darurah adalah perkara-perkara yang sudah sedia diketahui dan diterima oleh semua Muslim. Dalam erti kata lain, tidak masuk akal jika seseorang Muslim tidak mengetahui akan perkara-perkara tersebut.

Penerimaan dan pengamalan perkara yang disifatkan sebagai Ma’lum min al-Din bi al-Darurah sejak generasi awal menjadi dalil bahawa ia adalah sebahagian dari agama. Justeru tidak betul jika menjadikan perkara Ma’lum min al-Din bi al-Darurah sebagai contoh betapa umat Islam tidak perlu bertanya dalil. Realitinya, muslim yang cermat dalam beragama akan bertanya dalil apabila diperdengarkan dakwaan atau perkara-perkara yang ganjil dan meragukan.

Tidak patut kita menyamakan permintaan orang beriman yang mahu mendengar kalam Allah dan Rasul demi kelegaan hati mereka dalam beragama, dengan sikap Bani Israel yang banyak tanya kerana bermotifkan dalih untuk terlepas dari taklif. Dua sikap itu jauh berbeza antara langit dan bumi.

Harus juga kita ingati sejarah bagaimana pendeta-pendeta Bani Israel cuba menjauhkan umat mereka dari kitab Taurat dengan alasan kononnya kitab suci tersebut terlalu rumit dan tidak mungkin dapat difahami oleh golongan awam mereka. Seiringan dengan itu, pendeta-pendeta mereka menghasilkan kitab Talmud yang membuatkan Bani Israel terseleweng dari ajaran Nabi mereka yang sebenar.

Nabi kita telah berpesan bahawa umatnya akan mengikuti perangai umat terdahulu secara beransur-ansur. Peringatan tersebut perlu sentiasa direnungi dengan pengetahuan sejarah dan kesedaran bahawa umat ini tidak dijauhkan dari pedoman wahyu secara drastik.

USTAZ ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD – HARAKAHDAILY 26/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -