Andalusia lancar penerbangan pertama umrah 1444H pada Zulhijjah

Hajah Ida hadir menyempurnakan majlis pelancaran penerbangan pertama jemaah umrah 1444H Andalusia dalam bulan Zulhijjah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 24 Julai 2022. (FOTO HARAKAHDAILY/YUSMAN AWANG)
- Advertisement -

Oleh ZULHAIDI MANSOR

SEPANG: Penerbangan jemaah umrah 1444H dalam bulan Zulhijjah buat julung kali oleh syarikat pengendali pakej ibadah haji dan umrah ternama, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) telah selamat dilancarkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, pada hari ini, sekali gus menjadikan ia sebagai agensi pertama di negara ini yang berjaya melaksanakannya.

Pengarah merangkap Penasihat Undang-undang Andalusia, Hajah Ida Riswana Idris berkata, penerbangan 175 jemaah berkenaan ke Makkah adalah bagi memberi peluang kepada mereka yang tidak dapat mengerjakan haji pada 1443H, tetapi sebaliknya menunaikan umrah 1444H dalam bulan Zulhijjah (yang masih berada dalam musim haji 1443H).

- Advertisement -

“Inilah buat pertama kalinya dalam sejarah umrah, jemaah kita (Andalusia) ‘bertembung’ (bersua) dengan jemaah haji di Makkah. Tahun ini, visa pelancong dibenarkan semula buat jemaah umrah bermula pada 16 Zulhijjah (16 Julai) lalu.

“Jadi, jemaah umrah 1444H yang terbang ke Makkah pada bulan Zulhijjah ini bertembung dengan jemaah haji 1443H yang masih berada di Makkah ketika ini yang dijangka akan pulang ke tanah air menjelang pertengahan Ogos nanti,” jelasnya.

Katanya, pihak Andalusia akan menggunakan visa umrah dan visa pelancong bagi pakej-pakej umrah yang ditawarkan Andalusia bagi musim haji 1444H, tetapi untuk penerbangan pertama pada hari ini (24 Julai 2022), Andalusia menggunakan visa pelancong kerana sistem visa umrah dijangka hanya akan dibuka semula menjelang 1 Muharram 1444H (30 Julai 2022).

Sebilangan daripada kumpulan pertama seramai 175 jemaah umrah 1444H di bawah kendalian Andalusia yang terbang ke Tanah Suci Makkah pada 24 Julai 2022. (FOTO HARAKAHDAILY/ZULHAIDI MANSOR)

Menurut beliau, Andalusia memilih Amal by Malaysia Airlines kerana penyedia penerbangan sewa khas untuk haji dan umrah itu dapat memenuhi kapasiti tempat duduk yang diperlukan oleh Andalusia, yang mana kedua-dua Andalusia dan Amal by Malaysia Airlines sebelum ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi musim haji 1444H (2022/2023).

“Untuk makluman semua, Andalusia telah memajak hotel di Makkah iaitu Hotel Olayan Al Haram & Malak Agiyad bagi pakej ekonomi; sementara bagi pakej lima bintang pula, Andalusia telah membuat tempahan bersiri di Hotel Safwh Royal Orched mengikut tarikh-tarikh penerbangan,” ujar beliau.

Harga bagi pakej ekonomi untuk menunaikan umrah bermula daripada RM6,990 seorang manakala pakej lima bintang pula bermula dengan harga RM7,990.

“Di Madinah pula, Andalusia juga telah membuat tempahan bersiri di Hotel Nozol Royal Inn & Ar Rawda Royal Inn untuk memenuhi permintaan jemaah,” katanya ketika ditemui di KLIA, di sini, hari ini.

Tambah beliau, Andalusia akan menyediakan khidmat mutawiff dalam kumpulan jemaah ini, dan kumpulan-kumpulan jemaah kendalian Andalusia yang seterusnya kerana pihaknya telah membimbing seramai 258 orang mutawwif yang berpengalaman.

Jemaah yang terbang ke Makkah pada 24 Julai 2022 menggunakan visa pelancong untuk menunaikan umrah pada bulan Zulhijjah tahun ini. (FOTO HARAKAHDAILY/YUSMAN AWANG)

Mengulas lanjut, Ida berkata, bagi musim haji 1444H, Andalusia telah mengubah sedikit aturcara perjalanan umrah dan akan memberi ziarah ke Taif (Ziarah Taif) secara percuma untuk setiap pakej umrah yang ditawarkan. Sebelum ini, jemaah yang ingin membuat Ziarah Taif perlu membayar kira-kira RM214 seorang.

Katanya lagi, Andalusia menyediakan petugas yang berpengalaman untuk menyambut kedatangan jemaah semasa di Makkah dan Madinah. Andalusia turut menyediakan pembimbing wanita (mutawwifah) untuk membawa jemaah ke Raudhah.

Dalam pada itu, ujarnya, Andalusia menyasarkan untuk membawa seramai 60,000 jemaah bagi menunaikan umrah bersama syarikat itu sepanjang musim 1444H.

“Pihak Andalusia berharap dapat membawa umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia untuk menunaikan ibadah umrah sepanjang musim; di samping menyediakan pakej harga mampu untuk setiap golongan,” katanya.

Terdahulu, pada 12 Jun lalu, Andalusia telah memeterai MoU Penerbangan Malaysia Airlines A330-200 antara pihaknya dengan Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang menaungi Amal by Malaysia Airlines untuk musim 2022/2023 bersamaan 1444H di Grand Barakah Hotel, Ampang, Kuala Lumpur.

Perjanjian berkenaan dimeterai dalam rangka bagi membawa 34,000 jemaah umrah menerusi penerbangan terus ke Madinah bermula Ogos 2022 hingga Mei 2023. – HARAKAHDAILY 24/7/2022.

- Advertisement -