Timbang rasa, mansuh cukai: Tangani kenaikan harga barang

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Masalah kenaikan harga barang memerlukan timbang rasa antara pihak peniaga dan pembeli, manakala kerajaan perlu mengambil langkah-langkah menangani situasi yang menekan masyarakat.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, perbahasan isu ini turut tercatat dalam kitab Bulughul Maram karangan Ibnu Hajar yang bermazhab Syafie di mana ia disyarah oleh kitab Subulus Salam karangan dari mazhab Syiah Zaidiah.

“Allah Taala beri rahmat seseorang yang pemudah, pemurah, pemaaf bila dia jual, bila dia beli, bila dia minta hutang. Timbang rasa, semua timbang rasa. Itu dalam suasana orang bertimbang rasa antara satu sama lain. 

“(Tetapi) Kita menghadapi zaman orang tak ada timbang rasa. Peniaga nak untung sampai 50 peratus, melampau sangat. Tak patutlah, sorok barang-barang berlaku. Dalam hal ni terdapat kalangan ulamak, kerajaan boleh menentukan harga barang-barang penting.

Tasi’ir dibenarkan. Setengah ulamak membenarkan bila berlaku suasana yang menekan masyarakat. Boleh diambil langkah-langkah itu. Zaman Saidina Umar Khattab R.A bila berlaku kenaikan harga barangan khususnya gandum di masa itu.

“Sayidina Umar telah membebaskan ‘usyur. ‘Usyur ialah cukai perniagaan dikenakan kepada peniaga-peniaga bukan Islam, ‘usyur. Orang Islam dikenakan zakat perniagaan, bukan Islam dikenakan ‘usyur. Zakat ni ibadat, ‘usyur bukan ibadat,” jelasnya.

Penerangan tersebut dinyatakan beliau pada sesi dialog sempena Syarahan Perdana Ulamak Negarawan dan Pelancaran Yayasan Permata Ummah di The Everly Hotel, di sini kelmarin.

Menurut beliau, zakat sama sekali tidak boleh dimansuhkan, namun ‘usyur boleh dihapuskan di mana membolehkan peniaga mendapat untung daripada tindakan kerajaan membatalkan cukai seperti itu.

Kesannya cerita beliau, tindakan Umar itu menyebabkan berlaku lambakan gandum di Madinah dan harganya dapat diturunkan sesuai kemampuan rakyat untuk membeli keperluan tersebut.

“Subsidi ini pula dilaksanakan dalam suasana darurat. Kalau tak ada darurat tak perlu subsidi. Subsidi ini kita tak mahu ajar rakyat bermudah-mudah. Apa lagi subsidi dibahagi berlaku salah laku. Tak kena sasaran dia, macam berlaku dulu-dulu. Menjadikan orang itu malas, orang itu tak bekerja. 

“Ni kita kena sedar sehingga nak buat, nak derma masjid pun malas. Kerana apa? Orang dah bayar duit nak buat masjid. Sedangkan buat masjid ni, sedekah jariah. Orang berebut. Bila dah ada penyumbang-penyumbang itu orang tak buat dah. Sedekah jariah ini dimatikan. Itu tak boleh. 

“Sepatutnya, amal-amal jariah ni kita kena galakkan untuk mengatasi masalah-masalah subsidi,” terang beliau yang juga Wakil Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah.

Tuan Guru turut menyentuh mengenai kebebasan bersuara di mana tegasnya wujud batas yang mesti disedari, namun sebaiknya kebebasan diberi dan dihujahkan, serta menjawab soalan hingga tidak terjadi fitnah.

“Hujah ni mestilah orang yang ahli untuk berhujah. Jangan berhujah menambah menambahkan kekusutan lagi, itu salah. Kita kena sedar. Memang berhujah ini sangat penting.

“Terutamanya zaman media sosial yang ada pada hari ini tak terlawan, tak terurus, tak ada siapa nak jawab. Dan banyak anak-anak muda pula, baca media sosial ini, tak ada ilmu langsung, tak mengaji langsung. Ini bahaya.

“Ini saddu liz zari’ah, untuk elak daripada fitnah mesti satu tindakan yang tegas perlu diambil. Ini kena sedar,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 19/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -