
Oleh ZULHAIDI MANSOR
PUTRAJAYA: Bermatlamat membolehkan tahap kesiapsiagaan negara dipertingkat bagi menghadapi sebarang potensi situasi krisis pada masa hadapan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan melaksanakan inisiatif Latih Amal Keselamatan Menyeluruh pada kadar segera.
Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, berkata Latih Amal Keselamatan Menyeluruh ini perlu melibatkan kementerian dan agensi Kerajaan persekutuan dengan kerjasama kerajaan negeri serta penglibatan pihak swasta.
Menurutnya, aspek sukarelawan dan badan-badan bukan kerajaan khususnya melibatkan pelbagai segmen komuniti perlu diintegrasikan dan setiap agensi kerajaan harus bersedia melalui mekanisme sedia ada untuk memulakan perancangan pelaksanaan Latih Amal Keselamatan Menyeluruh ini pada kadar segera.
Tambah beliau, bagi tempoh tiga tahun akan datang, MKN harus memulakan suatu kerangka pelaksanaan Latih Amal Keselamatan Menyeluruh untuk diuji di peringkat awal sebelum diperkemaskan secara berterusan.
“Saya menyeru kepada seluruh jentera kerajaan, khususnya perkhidmatan awam memainkan peranan memastikan strategi Keselamatan Menyeluruh dapat diterap dan diamalkan dalam seluruh aspek tadbir urus negara.

“Tonggak kepada pelaksanaan strategi keselamatan menyeluruh adalah amanah yang perlu dijunjung oleh seluruh Keluarga Malaysia,” katanya ketika merasmikan Persidangan Keselamatan Negara 2022: Mendepani Cabaran Semasa dan Akan Datang dan Sambutan Bulan Keselamatan Negara di Hotel Marriot, Putrajaya, di sini, hari ini.
Turut hadir sama ialah Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hamzah Zainudin; dan Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad.
Menurutnya lagi, keselamatan negara bukan hanya merentas hierarki sosial dalam masyarakat, malah saling melangkau pelbagai sektor yang turut melibatkan aspek kedaulatan negara, sosial, ekonomi, politik, teknologi, tadbir urus serta hubungan antarabangsa.
Namun begitu katanya, tanggungjawab memastikan Malaysia kekal berdaulat, aman dan sejahtera bukan terletak di bahu pasukan keselamatan dan jentera Kerajaan semata- mata tetapi turut menjadi tanggungjawab bersama seluruh Keluarga Malaysia.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, Keselamatan Negara merupakan salah satu kepentingan nasional yang perlu difahami dan diselami oleh seluruh Keluarga Malaysia.
Sehubungan itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah membangunkan Dasar Keselamatan Negara (DKN) yang strategik dan komprehensif bagi mendepani unjuran pelbagai potensi isu, cabaran dan ancaman.
“Selaku Pengerusi MKN, saya melihat dasar ini menjadi pelengkap kepada perancangan Kerajaan, yang bermatlamatkan kemakmuran negara, termasuk Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).
“Justeru, amat penting bagi aspek keselamatan negara dititikberatkan, dalam segenap aspek kehidupan oleh Keluarga Malaysia, kerana tidak ada seorang pun yang inginkan keluarga berantakan apalagi keluarga yang tidak selamat dan tidak harmoni,” ujarnya.
Ismail Sabri menegaskan bahawa cabaran pengurusan keselamatan negara turut merangkumi aspek kehidupan seharian.
“Contohnya, sekuriti makanan memberi impak terhadap keselamatan negara, sekiranya ia tidak diurus dengan baik yang mana isu sekuriti makanan tidak boleh dilihat dari sudut pertanian, penternakan, dan bekalan makanan semata-mata kerana ia turut berkait rapat dengan situasi ketidakstabilan yang berlaku di peringkat antarabangsa,” jelas beliau.
Katanya lagi, konflik Rusia-Ukraine, serta perubahan iklim yang ekstrem adalah contoh melibatkan kesan rantaian global, yang menyebabkan seluruh keluarga Malaysia turut terkesan.
“Jika tiada persediaan awal dibuat, negara pasti berdepan risiko yang akhirnya menjejaskan kestabilan sosial dan ekonomi, dan sekaligus mengakibatkan implikasi keselamatan yang serius,” tegasnya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad berkata, Falsafah Keselamatan Negara ialah keselamatan negara hasil suatu usaha yang berterusan, seimbang dan menyeluruh dalam memastikan Persekutuan Malaysia kekal berdaulat, aman dan sejahtera.
Justeru katanya, Falsafah Keselamatan Negara mencerminkan kepentingan tanggungjawab keselamatan negara adalah tanggungjawab bersama seluruh jentera kerajaan dan segenap lapisan masyarakat. Maka dalam hal ini, keselamatan kegara adalah tanggungjawab bersama seluruh anggota Keluarga Malaysia.
“Menyambut semangat kebersamaan seluruh Keluarga Malaysia, maka Persidangan Keselamatan Negara 2022 ini adalah cerminan betapa kebersamaan kita semua untuk memastikan Persekutuan Malaysia ini kekal Berdaulat, Aman dan Sejahtera,” katanya.
Mengulas lanjut, Rodzi berkata, PKN’22 akan dilangsungkan melalui perbincangan dan percambahan fikiran dalam dua sidang plenari yang akan memfokuskan perbincangan yang berkaitan landskap keselamatan negara dan menghadapi cabaran semasa serta akan datang.
Di samping itu katanya, perbincangan dalam plenari juga akan turut menyentuh mengenai peranan komuniti serta pembentukan minda keselamatan dalam kalangan rakyat untuk memperkukuhkan kesiapsiagaan negara dalam keselamatan negara.
Katanya lagi, MKN berharap persidangan ini akan menghasilkan impak yang sangat signifikan dalam mencari input atau pandangan baharu untuk mengukuhkan strategi negara melalui dasar-dasar yang akan digubal.
Selain itu, perbincangan yang akan diadakan juga akan mengupas strategi-strategi berkesan dalam merealisasikan Dasar Keselamatan Negara 2021-2025 yang telah diketengahkan sejak setahun yang lalu. – HARAKAHDAILY 19/7/2022




















