
“SAYA tahu siapa yang ‘signed’ surat untuk meluluskan (ladang) Musang King (di Gunung Inas, Baling) saya tahu. Ada dalam ni surat tu ada dalam ni. Jadi jangan paksa kita dedahkan semua ni kan noh (ya)?
“Saya pun tak saya dah janji dengan (semua) tak mahu, tak mahu main ‘blame game’, saya akan ‘be fair’ lah pada semua orang,” demikian kata Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Kata-kata tersebut sebagai reaksi terhadap tindakan ADUN-ADUN Pembangkang yang cuba mempolitikkan isu tersebut menerusi desakan usul tergempar pada Sidang DUN Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.
Masalahnya, usul dikemukakan pihak Pembangkang itu tidak mengikut peraturan yang jelas telah difahami di mana memerlukan masa 14 hari bekerja atau dibawa oleh Menteri Besar tujuh hari atau paling-paling tidak sehari.
Sedangkan, pihak Pembangkang sendiri pernah membuat tindakan berkenaan tempoh ini apabila mendakwa notis pencalonan Speaker tidak diberikan selepas teraju kerajaan negeri bertukar pada pertengahan tahun 2020 dahulu.
Jelas Sanusi, kerana itu pihak Kerajaan tidak mengambil bahagian dalam perbincangan Pembangkang dengan Speaker kerana asas kepada perkara tersebut ialah semua usul yang hendak dibawa memerlukan kepada peraturan dewan.
Menurutnya, peraturan tersebut dibuat untuk memastikan ada masa yang cukup kepada pihak-pihak yang hendak membahaskan usul tersebut menyediakan jawapan-jawapan khususnya kepada kerajaan.
Katanya, jika isu yang hendak dibangkitkan itu mengenai teknikal yang memerlukan laporan daripada jabatan-jabatan, maka pihak kerajaan perlu dapat laporan teknikal daripada pihak yang terbabit.
“Kita tak boleh semberono cakap dalam dewan, tapi bila laporan keluar jadi macam lain. Itulah saya nak jelaskan bahawa kenapa pihak kerajaan tadi tidak mengambil bahagian di dalam perundingan antara ADUN-ADUN Pembangkang itu dengan Speaker.
“Walaupun begitu kita nampak Speaker ada memberi jalan, memberi muka sikitlah kepada pembangkang untuk membaca apa yang usul mereka nak bawa. Tapi sebenarnya itu pun tidak berperaturan,” terang Sanusi kepada media selepas sidang tersebut.
Motif di sebalik usul
Bidas Sanusi, beliau faham bahawa desakan Pembangkang itu adalah untuk membincangkan isu banjir kepala air di Gunung Inas supaya pihak kerajaan tidak bersedia dengan laporan-laporan jabatan.
“Jadi (supaya kita dilihat) tidak dapat memberi jawapan yang memuaskan dan isu ini akan dipolitikkan. Ada juga yang mengatakan Menteri Besar cakap di luar macam itu macam itu macam itu. Kita nak di dewan ini cakap macam mana pula?
“Saya nak tegaskan di sini bahawa apa yang saya katakan di luar itu akan sama dengan apa yang akan saya katakan di dalam dewan. Saya sebagai Menteri Besar yang bertanggungjawab tidak boleh di luar cakap lain (dalam) dewan cakap lain.
“Maka saya memilih untuk menunggu laporan daripada jabatan-jabatan teknikal yang akan terlibat dengan mencari punca-punca dan sebab kenapa berlakunya banjir kepala air atau aliran puing di Latar Cela Sungai Kupang.
“Kerana kita pernah menghadapi situasi yang sama di Titi Hayun Yan pada bulan Ogos 2021 aliran puing ataupun banjir kepala air,” ujar beliau menjelaskan akauntabiliti pihaknya.
Bentang beliau terdapat dua senario dari kejadian sama di mana di Gunung Jerai tidak ada aktiviti pembalakan atau pencerahan hutan yang kawasan itu masih hutan belantara, malah gunung itu juga berstatus hutan perlindungan.
Bermaksud tidak ada penebangan, penerokaan atau penanaman, sedangkan senario di Gunung Inas adanya penanaman di sebahagian daripada Kompartmen 8 yang menjadi punca ataupun sumber air bagi Sungai Kupang dan Lata Celak itu.
“Kawasan tersebut memang ada kelulusan Ladang Hutan pada tahun 2007. Seperti yang telah disebutkan tadi bahawa ada kelulusan kerajaan untuk membangunkan Ladang Hutan di Gunung Inas seluas 5,000 hektar.
“Kelulusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Hasil Bumi yang bersidang pada 6 September 2007 bersetuju meluluskan seluas lebih kurang 5,000 hektar kepada Kedah Agro JV PT Rubber dengan tanaman spesies getah dari jenis steamer lateks klon TLC tahun 2007.
“Bermula daripada situlah, keadaan ini berlarutan. Rumusan daripada Jabatan Perhutanan ialah penebangan berlaku tetapi tidak ditanam segera. Penebangan berlaku tidak ditanam segera kerana ada kawasan yang tidak sesuai ditanam.
“Tempat yang dicerahkan dan mungkin ada ‘intention’ daripada pihak-pihak yang terlibat untuk menukar jenis tanaman. Walaupun begitu EIA (Penilaian Impak Alam Sekitar) yang dipohon di peringkat awal dan EIA ini telah diluluskan pada bulan Julai 2013.
“Bermaksud permohonan EIA ini dibuat lebih awal daripada itulah. Saya rasa permohonan ini dibuat sewaktu kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak kerana kelulusan EIA bulan Julai 2013, pilihan raya Mei 2013.
“Kelulusan EIA 2013 itu ialah untuk tanaman TLC. Bila lulus EIA TLC tapi tak nak tak mahu tanam TLC, maka kawasan itu dibiarkan kosong. Jika dikatakan kerana kawasan itu kosonglah berlakunya banjir kepala air, maka ia bertentangan dengan keadaan di Gunung Jerai,” terang beliau.
Perlu laporan komprehensif
Oleh yang demikian tegas Sanusi, bukan sahaja laporan daripada Jabatan Perhutanan, tetapi Kerajaam juga akan bergantung kepada jabatan teknikal seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi menentukan kadar hujan dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) yang akan memberi laporan struktur tanah dan kelembapan.
“Itulah jabatan-jabatan dan kementerian-kementerian contohnya JMG akan serahkan laporan dia kepada KETSA, JPS akan serah laporan kepada KASA. Jabatan Perhutanan serah kepada kerajaan negeri.
“Saya baru ada satu. Jadi ada lagi agensi-agensi yang saya belum dapat baca laporan yang dikemukakan. Kemungkinan selepas ni saya akan bertemu dengan KASA dan KETSA untuk ‘compile’ semua laporan-laporan yang disediakan.
“Termasuklah daripada agensi-agensi lain yang berkaitan untuk kita buat kesimpulan apakah punca-punca yang menyebabkan banjir kepala air di Baling. Sebab itu jangan terburu-buru,” ujarnya memahamkan prosedur itu dan mengingatkan pihak Pembangkang.
Oleh itu kata Sanusi, disebabkan beliau belum menerima laporan daripada agensi-agensi terbabit, desakan Pembangkang itu tidak dapat dipenuhi walaupun beliau sudah ada kronologi daripada Jabatan Perhutanan
“Tapi tidak adillah untuk saya merujuk kepada satu jabatan sahaja. Dan saya tahu siapa yang ‘signed’ surat untuk meluluskan (ladang) Musang King saya tahu. Ada dalam ni surat tu ada dalam ni. Jadi jangan paksa kita dedahkan semua ni kan noh.
“Saya pun tak saya dah janji dengan tak mahu tak mahu main ‘blame game’ saya akan ‘be fair’ lah pada semua orang. Saya punya personal, ini adalah bencana. Bencana alam. Mungkin adalah kerja-kerja tangan terlibat juga.
“Tapi faktor-faktor lain yang kita tak dapat nak tangani dengan kekerdilan, kita sebagai makhluk Tuhan kena hadapilah,” ujarnya mengajak rasional dan tenang.
Realiti sedia ada
Bentang beliau, kalau hendak dikatakan ladang Musang King sepenuhnya sebagai punca, ia cuma ditanam di Kompartmen 8 melibatkan baru seluas 52 hektar, manakala kawasan yang dicerahkan luas paling banyak ditanam Musang King di Kompartmen 6 dengan seluas 197 hektar.
Kompartmen 6 perincinya, ada keluasan 620 hektar dan sudah ditanam 197 hektar, sementara belum ditanam 422 hektar, manakala Kompartmen 8, baru ditanam 52 hektar, tidak ditanam 1,021 hektar lagi.
“Jadi banyak tempat tak ditanam. Jadi kesimpulan Jabatan Hutan ialah tebang tak tanam. Kerana kelulusan ladang hutan TLC, tapi ‘attention’ untuk tanam benda lain. Jadi penyelesaian kepada Gunung Inas ni tanamlah.
“Cuma kelmarin ni adalah bincang sikit, kalau tanam TLC lepas 15 tahun akan ‘harvested’. Kalau ‘harvest’ gondol balik. Adakah gondol tu akan menyebabkan banjir? Kerana ada tempat banjir kepala air, tak gondol, Gunung Jerai tak gondol.
“Jadi inilah kena tunggu jabatan teknikal. Saya ucap tahniahlah kepada Pembangkang yang buat cubaan tadi tapi tak berjaya, cubaan untuk berbincang dalam keadaan jabatan belum mengemukakan laporan,” bidasnya.
Mainan yang terserlah
Beliau turut menempelak sikap Pembangkang yang bercakap macam-macam di luar, tetapi peringatnya di dalam Sidang Dewan mesti mengemukakan fakta yang betul, sebagaimana Kerajaan juga menyediakan jawapan melalui jabatan berkaitan.
Berbeza Pembangkang yang bercakap tanpa perlu melaksanakan, Kerajaan pula jelasnya setiap diperkata mesti melaksanakannya, oleh itu meminta Pembangkang agar bersabar seketika.
Beliau juga berharap mereka ikhlas dan dapat kemukakan usul pada Sidang Dewan akan datang kerana perkara sama juga telah dilalui di Yan pada Ogos 2021 lalu, tetapi Pembangkang tidak mengemukakan usul berkenaan.
“Jadi Yan lebih parah lagi mengorbankan enam nyawa tetapi tidak dikemukakan usul walaupun melibatkan kepentingan awam, melihat perkara tertentu, tapi tidak diusulkan kenapa?
“Tapi hat ni korbannya tiga, berlakunya di Baling, nak pula usul. Di Yan boleh sabar, sini tak sabar pasal apa? Sebab itu saya kata Pembangkang ni nak mempolitikkan saja isu banjir kepala air di Baling ini daripada mencari penyelesaian sebenar.
“Ayat-ayat yang dikemukakan tadi itu hanya ayat-ayat politik untuk menyerlahkan hasrat mereka yang sebenarlah untuk mempolitikkan isu banjir kepala air.
“Bagi kerajaan hal ini perlu ditunggu laporan daripada jabatan-jabatan supaya kita bersikap adil kepada semua orang dan kita tidak mempolitikkan semua perkara dalam kehidupan ini,” tegasnya.
IZWAN ABDUL HALIM – HARAKAHDAILY 18/7/2022




















