
ISLAM telah menjadi asas kepada kewujudan sistem pemerintahan tersusun di zaman ini di mana bermula dari Madrasah Nabawiyah yang mencetak generasi terbaik dengan membawa risalah Ilahi kepada semua bangsa dan zaman di seluruh dunia.
Tamadun yang hadir daripada Islam ini lahir di lembah kontang tetapi memiliki sejarah panjang para Nabi dan Rasul serta agama-agama samawi dengan Islam itu sendiri didukung oleh bangsa hebat iaitu Quraisy.
Walaupun tanpa pembangunan yang hebat, tetapi bumi Makkah dengan diatur Allah sebagai lokasi pertemuan dari segenap penjuru dunia itu memiliki Kaabah selaku lambang pengabdian dan juga perpaduan.
Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul akhir zaman yang diutuskan Allah SWT walaupun wafat akhirnya, tetapi Islam tidak berakhir di mana ia terus disambung oleh ummah dengan terus membawa peranan memimpin masyarakat majmuk sebagaimana diasaskan di Madinah al-Munawwarah.
Demikian mukaddimah Syarahan Perdana Ulamak Negarawan dan Pelancaran oleh Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang juga Wakil Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah di The Everly Hotel, Putrajaya, semalam.
Kepimpinan kaum majoriti
Menurut beliau, setelah Nabi wafat, cabaran kepada dunia menjadi sangat hebat di mana dalam kalangan umat Islam sendiri terjadi murtad dan golongan ini pula disokong dua kuasa besar dunia iaitu Parsi dan Rom.
“Pada adatnya Madinah yang terlalu kecil dihancur leburkan. Tetapi dengan keperkasaan kepimpinan yang lahir daripada Madrasah Nabawiyah bukan sahaja berjaya mempertahankan Islam, tetapi juga mempertahankan Madinah itu, dan mengalahkan kuasa-kuasa besar dunia.
“Dengan mereka menunjukkan model pemerintahan negara yang penting dalam sejarah manusia. (Iaitu) Kuasa mutlak bagi Allah dan Rasul, (manakala) hak rakyat yang tak diabaikan. Berbeza dengan diktatorship; kuasa mutlak kepada seorang pemimpin kumpulan.
“Ataupun teokrasi; kuasa mutlak kepada sami-sami dan paderi. Ataupun kuasa rakyat, suara rakyat kuasa tuhan, demokrasi purba, terserah kepada majoriti (walaupun)orang bodoh. Islam membetulkan keadaan. Kita melihat selepas wafatnya Nabi S.A.W, mereka memilih ketua negara secara syura yang ditunjuk oleh Allah Taala,” ujarnya.
Jelas Tuan Guru, kepimpinan bermula dengan kaum Quraisy sebagai menunjukkan pengaruh dan dominan adalah asas penting dalam kepimpinan negara yang berkuasa dan dihormati.
Pengurusan kewangan
Semasa pentadbiran Khalifah Umar al-Khattab RA cerita Tuan Guru, satu pembaharuan penting telah diadakan antaranya Takhsimul ‘Ata’ iaitu pembahagian elaun secara sistematik.
Jelasnya, dengan wilayah Negara Islam semakin luas, perolehan hasil juga sangat banyak, lalu akhirnya wujudlah sistem kewangan dan gaji di mana sistem ini didaftarkan pendapatan dan perbelanjaannya dipanggil Tadwinud Dawawir.
Dari sistem ini penerimanya bukan sahaja gabenor, hakim, amir wilayah, panglima perang, penulis dan ahli pentadbiran lain, tetapi juga ahli Badar, Ummahatul Mukminin dan ahli bait.
Di sana ada perkara nas, perkara yang tak ada nas. Umar telah membuat satu pembaharuan yang sangat penting, antaranya ialah Takhsimul ‘Ata’ Pembahagian elaun secara sistematik, zaman Sayidina Umar.
Demokrasi
Bentang beliau, setelah kewafatan Umar RA, pemilihan Uthman al-Affan RA diadakan secara pemilihan pungutan suara yang menjadi asas kepada demokrasi pada zaman ini.
“Kita kena sedar, orang Barat tak tahu demokrasi, nak dimodenkan, tak tahu nak pilih pemimpin. Tak ada cara lain melainkan revolusi. Revolusi di England, revolusi di Perancis, Revolusi di Russia.
“Bila tak puas hati, perang sesama sendiri. Bila menang, bunuh pemimpin dulu, naik. Naik perang pula itu. Tak tahu nak pilih. Sehingga mereka belajar daripada syura Islam, barulah ada sistem pilihan raya.
“(Tetapi) Cara merekalah pemisahan agama daripada politik. Itu yang berlaku,” terang beliau terhadap kesan politik dari perbezaan dipraktikkan itu.
Kerajaan Islam bermasalah?
Ahli Parlimen Marang yang sangat berpengalaman di dalam kepimpinan siyasah umat hingga ke peringkat antarabangsa ini turut tidak menafikan permasalahan wujud semasa pentadbiran Sahabat RA.
“Mengapa zaman Saidina Uthman dan zaman Saidina Ali berlaku huru-hara? Banyak persoalan melemahkan para Sahabat, itu tak betul. Apa jadi masalah ialah kerana banyak mualaf-mualaf yang baru masuk Islam.
“Orang yang baru masuk Islam tak puas hati dengan berzakat, tak puas hati dengan imbuhan pemberian, macam sekarang tak puas hati dengan subsidi. Iman dia lemah, tak macam dulu. Padahal sudah banyak, tapi tak puas hati, perangai manusia. Tak puas hati dengan khalifah.
“Kemudian Sahabat-sahabat yang tua dah meninggal dunia. Naik yang baru, menyulitkan Saidina Uthman R.A. (Begitu juga) Wilayah-wilayah yang jauh, tak ada telefon masa itu perjalanan berbulan. Jauh. Ini masalah dihadapi oleh Khalifah Uthman.
“Maka Uthman dia lantik orang yang dia percaya. Timbul pula suruh melantik kroni-kroni dia. Itu satu fahaman yang salah. Para Sahabat RA adalah adil, adalah baik semua, didukung oleh Sahabat-sahabat yang lain.
“Kemudian zaman Saidina Ali jadi parah apabila mereka yang kalah daripada kuasa besar dunia Parsi dan Rom menyerang Islam dari dalam,” ujarnya terhadap rangkaian Abdullah bin Saba’, Yahudi, Kristian dan pihak-pihak yang menimbulkan pelbagai ajaran serta kesesatan lain.
Perdagangan juga satu dakwah
Pun begitu jelasnya, Islam dapat mengatasi masalah dan masa yang sama berkembang di seluruh pelusuk dunia di Asia Tengah, di Jalan Sutera, Utara Afrika, Selatan Eropah, bukan sahaja oleh pendakwah, tetapi juga melalui perdagangan dan hubungan diplomatik.
“Satu contoh hubungan diplomasi antara Islam dengan bukan-Islam. Mengikut kaedah biasa bila sebuah negara tak ada hubungan diplomasi, tak ada hubungan dagang dengan negara itu.
Tetapi dalam Islam kita boleh buat hubungan dagang dengan negara yang tak ada hubungan diplomatik. Boleh buat, menyebabkan negeri-negeri yang bermusuh dengan Islam, ada rakyat dia yang berniaga semata-mata, tak mahu berperang, datang.
“Diberi keamanan untuk berniaga di negeri Islam. Bila mereka datang negeri Islam mereka melihat aman, tak ada perompak, tak ada penyamun, tak ada rasuah, itu menggalakkan mereka datang.
“Negara Islam menguasai jalan perdagangan dan pedagang ini pulang ke negeri dia menyampaikan maklumat tentang Islam. Orang Islam pergi meniaga, menyebabkan pengaruh Islam tersebar.
“Sehingga kuasa-kuasa Barat, Kristian yang bermusuh dengan Islam yang menyambung perjuangan Ahzab terpaksa melakukan penerokaan-penerokaan
Vasco da Gama, Marco Polo dan lain-lain yang kita baca dalam sejarah ini,” ujarnya.
Islam pilihan yang praktikal
Terang beliau, kedatangan mereka itu bukanlah pelayaran untuk perdagangan tetapi satu gerakan pintas menguasai dunia Islam hingga berlakulah penaklukan penjajahan yang mengambil kelemahan daripada umat Islam selepasnya.
“Apa yang menarik di zaman penjajahan, Islam berkembang termasuk di Asia Tenggara. Walaupun Belanda, British berebut nak takluk kawasan ini, tapi kalangan Missionaries Kristian kalangan asing yang datang memaksa dengan senjata.
“Adapun pendakwah-pendakwah kalangan anak negeri banyak yang tertindas oleh penjajah ini menyebabkan pengaruh Islam lebih pesat daripada pengaruh Kristian, termasuk di India sendiri termasuk di negeri-negeri lain berlawan dengan British yang menjajah.
“Islam lebih pesat kerana ajarannya, kerana kefahamannya yang betul. Dan kita lihat hari ni walaupun negeri Islam dalam keadaan lemah tetapi perkembangan Islam masih pesat. Berlaku di seluruh pelusuk dunia, teguh.
“Ini antara iktibar yang boleh kita ambil daripada perjalanan khulafak ar-Rasyidin bagaimana kalau Islam diamalkan dengan sempurna, Islam menjadi model dan menarik manusia untuk menerima Islam.
“Apa jadi masalah ialah kita nak tunjuk model tak boleh, tak ada kuasa. Sekadar bercakap saja, gigi dengan lidah saja. Pelaksanaannya tak ada. Kalau dilaksanakan, orang saksikan ini dia Islam, sudah tentulah Islam dapat menguasai pemikiran manusia.
“Di sinilah mengapa tokoh-tokoh Barat seperti Henry Kissinger dan lain-lain mengatakan Islam lebih bahaya daripada Komunis. Bila berlaku ancaman di Eropah Timur dan perang Korea, masa itu banyak media-media Barat mengatakan Komunis suatu ancaman.
“Tetapi tokoh-tokoh yang mengatakan tidak, Islam adalah ancaman kerana Komunis dia menguasai lahiriah saja, Islam kalau dia datang dia menguasai hati-hati manusia hati-hati manusia.
“Ini menakutkan bukan kerana Islam itu salah tapi kerana hasad dengki mereka terhadap Islam, ini yang sebenarnya,” hujahnya.
IZWAN ABDUL HALIM – HARAKAHDAILY 18/7/2022




























