Dedahkan saiz terkini hutan simpan kekal setiap negeri – Ahmad Fadhli

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari memohon kerajaan agar memohon supaya kerajaan mendedahkan angka terkini saiz hutan simpan kekal mengikut negeri-negeri, dan memberi ganjaran kepada negeri yang menyimpan hutan dengan kadar keluasan tertentu.

“Jika dapat didedahkan dalam dewan (parlimen) ini, berapakah angka terkini hutan simpan kekal mengikut negeri-negeri? 

- Advertisement -

“Ini kerana kadang-kadang apabila orang sebut pembalakan, orang serang negeri-negeri tertentu.

“Sedangkan negeri-negeri yang disebut ini mengekalkan hutan sangat banyak yang membekalkan oksigen dan menjadi paru-paru kepada negara,” tegasnya.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undnag-Undang (RUU) Perhutanan  Negara (Pindaan) 2022 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Ahmad Fadhli juga meminta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KetSA) membuat satu hipotesis awal mengenai punca sebenar insiden banjir dan kepala air yang berlaku di Baling, Kedah.

Menurutnya, terdapat banyak dakwaan mengatakan kejadian itu berpunca daripada projek penanaman durian Musang King di Gunung Inas.

Justeru, beliau memohon supaya KetSA menjelaskan sejauh mana kebenaran dakwaan itu selain membantu mengenal pasti langkah yang perlu ditangani negara.

“Andaian yang paling kuat disebut adalah kelulusan penanaman durian Musang King yang berdekatan kawasan banjir yang diluluskan sebelum daripada ini. Setakat manakah kebenaran dakwaan ini?

“Mengambil iktibar daripada banjir di Baling, saya mencadangkan kerajaan pusat dapat memperketat elemen laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) dan pemantauan secara berkala dengan lebih kerap,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/7/2022

- Advertisement -