
PUTRAJAYA: Buku Batas-batas Iman dan Kufur tulisan Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merupakan karya yang paling disayangi oleh beliau secara peribadi di mana terbitan itu turut pernah cuba diharamkan.
Ceritanya, karya itu lahir atas permintaan Datuk Asri Muda untuk disediakan kertas berjudul sedemikian berikutan gejala kafir mengkafir yang dahsyat dalam masyarakat Islam sejak tahun 1950-an.
Kesali beliau, orang Islam sendiri ketika itu menghina Islam dan menyatakan pelaksanaan Islam boleh menyebabkan huru-hara, selain mendakwa hudud sebagai zalim hingga reaksi yang berlaku telah mewujudkan ketegangan.
Keadaan yang berlaku dalam masyarakat ketika itu katanya, menyebabkan sehingga ada orang-orang PAS ditangkap dan dikenakan tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
“Lalu saya tulis batas-batas iman dan kufur, bincang dalam seminar untuk membetulkan keadaan. Kita kena sedar bahawa berlaku hal ini kerana kejahilan orang Islam. Iman dia masih ada, percaya kepada Islam tapi kerana dia tak tahu, dia hina Islam ini kerana dia tak tahu.
“Halawatul iman, kemanisan iman masih ada dalam diri dia. Dalilnya kalau orang kata dia kafir, marah, melenting. Sanggup berkelahi. Dia masih Islam, tapi dia buat hina Islam kerana tak tahu.
“Masa itu JPM (Jabatan Perdana Menteri) juga bawa keluar buku Mustika Hadis. Mustika Hadis ni memanaskan lagi keadaan. Di mana masa itu orang PAS dalam kerajaan keluar Mustika Hadis kata Pengantar Tun (Abdul) Razak (Hussein) pula.
“Dalam (buku) itu kalau buat hina hudud, buat hina, jadi kafir, jadi kafir ulasan di bawahnya tak ada kerana dia jahil, kerana dia tak tahu (tak diterangkan),” ujarnya mengimbau perkara tersebut.
Manakala Sirah Nabawiyah menjadi tulisan karya sendiri kedua disayangi beliau setelah buku tadi yang disebutnya pada sesi dialog Syarahan Perdana Ulamak Negarawan dan Pelancaran Yayasan Permata Ummah di The Everly Hotel, di sini semalam.
Tambah Tuan Guru lagi, beliau memanjangkan lagi perbahasan buku Batas-batas Iman dan Kufur itu menerusi karya Mukadimah Akidah Muslimin yang membahas juga pandangan pelbagai mazhab.
Setelah itu menurutnya, keadaan semakin reda di mana tiada lagi kedengaran keberanian menghina Islam berlaku dan wujud ketenangan dari agenda perpaduan ummah yang PAS bawa.
“Tak berani dah nak kata politik suku agama suku itu tak berani. Ini saya anggap sebagai satu kejayaan yang sangat penting kepada saya hasil tulisan yang itu. Walaupun buku ini dibawa Perhimpunan Agung Umno (PAU) didesak diharam beberapa kali.
“Dan saya dimaklumkan kawan saya dalam JPM, dia buat kajian buku ni tak ada tempat untuk nak haramkan buku ni, alhamdulillah. Selesai masalah, itulah yang paling menariknya,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 18/7/2022




















