Malaysia semakin bersemangat, Laos bukan belasahan

Skuad Harimau Muda tekad benam cabaran Laos untuk muncul juara kali kedua
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

Kekalahan 0-1 kepada Laos dalam perlawanan peringkat Kumpulan B mengajar skuad Harimau Muda supaya tidak memandang rendah lawan yang akan dihadapi sekali lagi dalam aksi final Kejuaraan B-19 AFF 2022 di Stadium Patriot Chandrabhaga, malam ini.

Malah, Laos mempamerkan persembahan paling menonjol dalam kejohanan kali ini dengan lima perlawanan tanpa tewas, termasuk mengalahkan jaguh Asia Tenggara, Thailand, 2-0 di peringkat semi final.

- Advertisement -

Lantas ini menyebabkan pengendali pasukan negara, Hassan Sazali Waras, memuji Laos yang menunjukkan peningkatan berbeza dari segi pembangunan bola sepak peringkat usia begini.

Katanya, Laos bukan lagi pasukan belasahan seperti dijangkakan, terutama dengan kekalahan skuad negara dalam aksi peringkat Kumpulan B.

“Persiapan mereka juga lebih baik. Bukan setakat kelebihan individu, malah gemar menyerang balas pantas secara berkumpulan.

“Transisi selepas kehilangan bola juga amat baik kerana mereka amat berdisiplin. Kita perlu mencari ruang seperti yang dilakukan ketika berdepan Vietnam sebelum ini,” katanya.

Pada masa sama, Hassan berkata skuad negara mempamerkan aksi mantap bagi memastikan kemaraan ke final kejohanan ini buat kali keempat berturut turut.

“Bumi Indonesia mungkin memberi tuah kepada kita yang menjadi juara di sini pada 2018. Saya harap kita dapat ulangi kejayaan itu. Final keempat ini pasti menjadi suntikan semangat buat pemain. Saya juga lihat moral barisan pemain sangat tinggi untuk final ini.

Sementara itu, jurulatih Laos, Micheal Weiss memberi amaran kepada anak buahnya supaya tidak terbuai untuk aksi final.

Beliau menjangkakan Harimau Muda pasti tampil dengan semangat yang berbeza dalam misi merebut kejuaraan ini.

“Saya percaya kedua-dua pasukan akan memberikan cabaran yang sengit. Saya tidak tahu berapa perubahan yang Malaysia akan lakukan.

“Kami beraksi dengan baik pada aksi sebelum ini (menang 1-0) tetapi aksi kali ini berbeza kerana ini adalah final,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/7/22

- Advertisement -