Crackhouse Comedy mesti ditutup segera!

- Advertisement -

BARU-baru ini, tular satu video yang memaparkan satu adegan komediri (stand-up comedy) yang telah menghina Islam. Wanita terbabit telah menanggalkan pakaian serta tudungnya setelah mengaku bahawa dia menghafaz 15 juzuk al-Quran di atas pentas sebuah pusat komedi, Crackhouse Comedy Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

Isu ini sekali gus melondehkan lebih banyak komediri yang membuat komedi yang berunsur menghina agama Islam dan menyentuh sensitiviti kaum dan agama. Agama Islam tidak pernah melarang umatnya berhibur, malah Islam telah menggariskan tatacara hiburan yang berlandaskan syariat dan batas agama. Justeru itu, perbuatan mempersenda agama adalah dilarang di sisi Islam dan undang-undang negara serta dianggap sebagai satu jenayah.

Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang memuji tindakan pantas yang dibuat oleh pihak kerajaan khususnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bertindak menutup serta menggantung operasi kelab terbabit. Dato’ Ustaz Idris Ahmad, YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga menzahirkan ketegasannya dalam membendung isu penghinaan kepada agama ini. Oleh itu, tindakan menutup dan menghentikan operasi kelab terbabit adalah tindakan yang sangat wajar.

Walaupun timbul beberapa individu dan selebriti yang mengecam tindakan penutupan sementara kelab Crackhouse Comedy, malah ada yang turut menyamakannya dengan ceramah agama yang menyelitkan unsur lawak. Perumpamaan berkenaan umpama langit dan bumi, ceramah agama yang diselitkan unsur lawak sama sekali berbeza dengan komediri yang bersifat menyentuh hukum-hakam agama Islam.

Isu ini tidak akan berakhir hanya dengan penangkapan wanita terbabit bersama teman lelakinya sahaja, kerana kelab terbabit telah sekian lama menjadi platform sesetengah pelawak menghina agama dan bangsa atas dasar komedi. Malahan, pengasasnya sendiri, Rizal Van Geyzel juga telah beberapa kali membuat lawak yang mempersendakan agama dan bangsa. Perkara ini dapat dilihat melalui beberapa ciapan videonya yang dimuat naik di media sosial. Terdapat juga tangkap layar seorang wanita Islam bertudung yang membuka minuman keras setelah diminta oleh salah seorang pelawak di atas pentas.

Penutupan sementara kelab terbabit amatlah tidak setimpal dengan deretan isu yang membabitkan kelab serta pengasasnya yang acapkali melampaui batasan. Pusat komedi yang konsisten menganjurkan komedi berbau penghinaan terhadap agama dan mencetus ketidakharmonian antara bangsa ini telah menjadi barah serta normalisasi dalam kalangan pelawak dan masyarakat. Pemuda PAS menyokong penutupan kelab terbabit secara mutlak dan sepenuhnya. 

Semoga tindakan tegas ini menjadi iktibar dan pengajaran kepada mana-mana premis hiburan dan masyarakat supaya tidak menjadikan agama dan bangsa sebagai senda gurau murahan. Setiap ‘content’ harus ditapis dan diamati sedalamnya agar ia sentiasa menjaga sensitiviti dan nilai agama, bangsa serta negara.

“Memacu Perpaduan”

USTAZ MUHAMMAD FAWWAZ MOHAMAD JAN
Ketua Pemuda PAS
Negeri Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 15/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -