PAS tolak ‘khemah besar’ demi perpaduan ummah

- Advertisement -

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

MARANG:
PAS tegas menyatakan pendirian parti itu menolak cadangan menyertai ‘khemah besar’ pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), setelah berbincang dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, perbincangan telah diadakan bersama Muhyiddin mengenai khemah besar itu dan PAS berpendirian tidak bersetuju.

Katanya, perbincangan antara PAS dan Bersatu secara berterus terang dan tiada yang disembunyikan.

- Advertisement -

“Ya, kita dimaklumkan, kita tahu dan kita bincang, dan kita buat keputusan tak setuju khemah besar ini.

“Tan Sri Muhyiddin berbincang dengan kita, dia maklum dan kita bincang bersama. Kami tak sembunyi-sembunyi. Semua yang ada hubungan dengan kita, kita lapor.

“Yang berhubung dengan PAS pun kita lapor, berhubung dengan dia pun kita lapor. Kita buat keputusan Bersama. PAS menolak khemah besar dan Muhyiddin menerima. Apa pandangan kita itu, dia menerima,” ujarnya kepada media selepas menyampaikan Kuliah Dhuha di Masjid Rusila, hari ini.

Namun, kata Tuan Guru Abdul Hadi, penolakan itu kerana PAS masih berpegang dengan prinsip perpaduan ummah.

Menurutnya, perpaduan ummah itu dengan menyatupadukan umat Islam terlebih dahulu dan orang bukan Islam yang tidak ekstrem.

“Kita masih lagi berpegang kepada prinsip perpaduan ummah. Menyatupadukan umat Islam dahulu kemudian, orang bukan Islam yang tidak ekstrem. Itu konsep yang kita pegang,” tegasnya.

Ketika ditanya, jika PAS bersama PN parti itu tidak berisiko pada PRU15, kata beliau PAS telah melakukan post mortem untuk tiga pilihan raya negeri (PRN).

“Kita melakukan ‘post mortem’dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, dalam pilihan raya Melaka, dalam pilihan raya negeri di Johor.

“Semua pilihan raya ini kita dapati mereka yang mengundi Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya yang lalu tak undi PH lagi.

“Sama ada mereka undi kita atau mereka tak mengundi. Mereka (juga) tak mengundi Barisan Nasional (BN). Jumlah sangat besar dan undi kita naik di Melaka, undi kita naik di Johor, sehingga ada kawasan naik 200 peratus undi di situ.

“Cuma, yang datang kepada kita tidak cukup lagi, masa tak cukup, terlalu singkat sangat. Dengan sebab itu ada peningkatan dan kita akan usahakan lagi,” jelasnya.

Menjawab persoalan, PAS enggan mengadakan pilihan raya awal kerana gilakan kuasa dan takut kehilangan jawatan, kata Ahli Parlimen Marang itu mereka yang mahukan pilihan awal sebenarnya yang gila kuasa.

“Biasanya orang yang nak cepat (pilihan raya) gila kuasanya, dan orang yang tangguh-tangguh ini tak gila kuasa, dia fikir panjang.

“Saya sudah sebut, kita fikir panjang kerana rakyat. Rakyat menghadapi masalah-masalah yang banyak, penyakit Covid-19 belum diisytiharkan bebas lagi, termasuklah hal-hal yang lain.

“Pilihan raya yang diadakan itu pun kerana dia paksa hendak buat cepat, bukan kita dan kita termasuk dalam terpaksa. 

“Tak, kita tak gila kuasa, biasa kita duduk bawah. Kita duduk bawah tak jatuhlah, biasa yang jatuh yang duduk atas.

“PAS pernah kalah, selalu kalah dan menang jarang-jarang sekali, yang susahnya orang yang selalu menang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/6/2022

- Advertisement -