
PENGHINAAN terhadap junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W dan isteri Baginda, Sayyidatina Aisyah R.A oleh dua Ahli Parlimen dari negara India baru-baru ini merupakan suatu tindakan melampau dan harus dikecam oleh semua masyarakat.
Tindakan biadab ini telah mengundang kemarahan umat Islam seluruh dunia seperti Arab Saudi, Kuwait, Qatar, termasuk Malaysia. Saya bimbang budaya menghina figura mulia dalam Islam ini menjadi suatu normalisasi sekiranya dipandang ringan dan tidak ada tindakan drastik dari pihak kerajaan.
Justeru, saya menyeru agar pihak kerajaan melalui Wisma Putra turut bersolidariti bersama pimpinan negara-negara Islam yang lain dengan mendesak wakil Kedutaan India di negara ini bagi memohon maaf secara rasmi kepada seluruh umat Islam.
Saya turut menggesa para aktivis dari badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli parti tanpa mengira parti dan fahaman di seluruh Malaysia untuk bersama-sama dalam usaha mendesak pihak bertanggungjawab.
Seterusnya menyebarkan maklumat yang betul kepada orang awam melalui platform-platform forum, dialog, ceramah dan media sosial.
Perkara ini menjadi tanggungjawab semua individu beragama Islam memandangkan penghinaan terhadap Rasulullah S.A.W dan isteri Baginda ini merupakan suatu isu sensitif dan melibatkan maruah agama Islam yang kian dicalar saban hari.
Saya melihat kebersamaan masyarakat secara menyeluruh dapat memberi impak yang besar supaya perkara ini menjadi teladan dan tidak sewenang-wenangnya mencemar kedaulatan, kehormatan dan kemuliaan agama Islam di masa hadapan.
Perkara sensitif ini turut mengundang suasana yang tidak harmoni di antara kaum seperti yang tercetus di India. Oleh itu, NGO dan ahli politik perlu membuat bantahan bersama dalam isu tersebut bagi menyelar penghinaan yang bersifat tidak bertamadun ini.
Sekian.
YB USTAZ AHMAD TARMIZI SULAIMAN
Ahli Parlimen Sik – HARAKAHDAILY 8/6/2022




















