
Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
KOTA BHARU: Lima keluarga yang terlibat dalam kebakaran besar di Kampung Berek 12 dekat sini dua hari lalu menerima bantuan melalui Tabung Serambi Mekah (TSM).
Ketua Jajahan Kota Bharu, Mohd Anis Hussein berkata, usaha tersebut sebagai bantuan segera kepada mangsa kebakaran yang terbabit.
Katanya sebanyak RM1,000 disalurkan kepada setiap keluarga terlibat bagi meringankan sedikit beban yang ditanggung mangsa khas ketika menyambut musim perayaan.
“Kita memberi bantuan kepada mangsa kebakaran di Berek 12 melalui Tabung Serambi Mekah iaitu sebanyak RM1,000 kepada setiap keluarga.
“Kerajaan negeri sedia untuk memberi bantuan dan sokongan kepada mangsa terlibat berdasar kemampuan yang ada,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Agihan Bubur Lambuk di hadapan Pejabat Operasi Pertubuhan Kebajikan Penduduk Mukim Parit di sini semalam. (Foto atas)
Hadir sama Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Penduduk Mukim Parit, Tuan Mohd Nor Tuan Yahya dan ahli jawatankuasa persatuan berkenaan.
Pada majlis itu sebanyak 500 pek makanan diagihkan kepada penduduk tempatan dan pengguna jalan raya di laluan Wakaf Che Yeh-Pasir Tumboh.
Dalam pada itu Mohd Anis turut memuji peranan dimainkan persatuan terbabit bagi membantu penduduk yang tidak bernasib baik ketika Ramadan sekarang.
Beliau juga berkata, kesan penularan wabak Covid-19, menyebabkan ramai rakyat menghadapi kesusahan hidup dan ditambah pula dengan kemelesetan ekonomi.
“Mereka aktif memainkan peranan membantu rakyat dalam musim kegawatan ekonomi sekarang. Bagaimanapun kita bersyukur wabak nampak semakin reda.
“Sumbangan seperti ini juga dapat meringankan beban rakyat, paling penting nampak ada hubungan mesra antara persatuan dan penduduk,” katanya.
Sementara Tuan Mohd Nor Tuan berkata agihan bubur lambuk merupakan aktiviti tahunan kecuali 2020 kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ketat.
Katanya ahli persatuan itu seramai 310 orang bersama-sama menghulurkan sumbangan bagi memastikan sebarang program anjuran persatuan terbabit dapat dilaksanakan.
“Bahkan baru-baru ini kita buat agihan barangan dapur kepada 50 keluarga penduduk miskin di Mukim Parit Pasir Tumboh yang terjejas berikutan penularan pandemik Covid-19,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/4/2022




















