Israel larang peneroka haram Yahudi masuki Masjid Al-Aqsa

Sekumpulan lelaki dan wanita Yahudi mengunjungi Temple Mount, yang dikenali umat Islam sebagai Haram Al-Sharif (The Noble Sanctuary) di pekarangan masjid Al-Aqsa di Kota Lama Baitulmaqdis pada 20 April 2022. (FOTO AFP)
- Advertisement -

RAMALLAH: Kerajaan Israel akan menutup Masjid Al-Aqsa kepada kumpulan Yahudi sehingga akhir Ramadan, dan tunduk kepada tekanan tempatan, serantau dan antarabangsa selepas pertempuran ganas di tapak suci umat Palestin itu.

Akhbar Israel Yedioth Ahronoth berkata bahawa kerajaan memutuskan untuk menutup pekarangan Al-Aqsa kepada peneroka haram Yahudi dari 22 April hingga akhir Ramadan pada 1 Mei dan memastikan kawasan itu hanya dibuka untuk penganut Islam.

- Advertisement -

Dalam usaha untuk membendung keganasan selanjutnya, Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett pada Rabu (20 April) mengeluarkan kenyataan melarang ahli parlimen sayap kanan, Itamar Ben Gvir daripada memasuki kawasan Islam di Kota Lama Baitulmaqdis dan mengadakan perhimpunan.

Ketegangan di Baitulmaqdis Timur yang diduduki Israel telah meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini, di tengah-tengah hampir sebulan keganasan maut di Israel dan Tebing Barat yang diduduki, dengan perayaan Paskah Yahudi bertepatan dengan Ramadan.

Larangan Bennet itu bertujuan untuk menghalang keganasan selanjutnya di Kota Lama, termasuk Al-Aqsa, di mana pertempuran baru-baru ini antara Palestin dan tentera Israel menyebabkan lebih 170 warga Palestin cedera.

Polis Israel bertempur dengan penduduk Palestin di pekarangan Masjid Al-Aqsa selepas memasuki kawasan masjid suci itu sebelum subuh ketika ribuan umat Islam berkumpul untuk menunaikan solat pada bulan Ramadan, di Kota Lama Baitulmaqdis pada15 April 2022. (FOTO EPA-EFE/JAMAL AWAD)

Terdahulu, Ben Gvir telah mengumumkan dia akan mengambil bahagian dalam perhimpunan pada petang Rabu, yang akan perarakan berarak melalui Pintu Damsyik, pintu masuk utama ke kawasan Muslim di Kota Lama Baitulmaqdis.

Larangan Bennett itu dibuat selepas menerima saranan daripada ketua keselamatan Israel untuk menghalang ahli parlimen yang lantang itu daripada memasuki Pintu Damsyik.

“Saya tidak berniat untuk membenarkan pemikiran sempit politik membahayakan nyawa manusia. Saya tidak akan membenarkan provokasi politik oleh Ben Gvir membahayakan tentera IDF (tentera Israel) dan pegawai polis Israel, dan menjadikan tugas mereka yang sedia berat menjadi lebih berat,” tegas Bennett.

Bennett yang merupakan seorang tokoh penting dalam pergerakan penempatan Israel, mengetuai kerajaan gabungan yang dilihat sebagai rapuh.

Sebagai tindak balas, Ben-Gvir sehubungan itu berkata bahawa keselamatan kerajaan campuran Israel bukanlah keselamatan negara. 

Umat Islam di Palestin menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis pada 8 April 2022. (FOTO REUTERS/Ammar Awad)

“Polis, di bawah arahan menteri keselamatan dalam negeri berhaluan kiri, cuba dalam segala cara untuk menghalang orang Yahudi daripada berjalan di ‘ibu kota Israel’ dengan bendera Israel. Tanggapan kami kepada musuh kami ialah kami akan tiba hari ini dan kami akan menaikkan bendera Israel dengan bangga,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Masjid Al-Aqsa, Sheikh Omar Al-Kiswani memberitahu Arab News bahawa Wakaf Islam telah meminta pihak berkuasa Israel untuk menghentikan lawatan kumpulan ekstremis Yahudi dari 16 April hingga akhir Ramadan, tetapi tiada jawapan daripada kerajaan Israel.

Raja Abdullah dari Jordan mengetuai usaha intensif  pada minggu ini untuk menjamin kebebasan beribadat di Al-Aqsa, terutamanya semasa Ramadan, dan untuk menghentikan pencerobohan Israel terhadap jemaah Islam.

Lebih 1,100 peneroka haram Israel menyerbu masjid pada Rabu, mencetuskan protes ganas dan pertempuran dengan polis Israel, yang melepaskan peluru getah untuk menyuraikan penunjuk perasaan warga Islam Palestin.

Dengan penghujung cuti Yahudi semakin hampir, sejumlah besar orang Yahudi radikal menuju ke Pintu Maghrabi, cuba memasuki masjid, seperti yang ditunjukkan dalam video yang disiarkan oleh aktivis Israel.

Umat Islam Palestin meneruskan ibadah solat ketika polis Israel berkumpul di perkarangan Masjid Al-Aqsa, di Baitulmaqdis pada 7 Mei 2021. (FOTO REUTERS/Ammar Awad)

Ahli Jawatankuasa Eksekutif PLO, Hussien Al-Sheikh pula berkata bahawa status quo bersejarah memberikan tanggungjawab Awqaf Islam untuk pengurusan, penyelenggaraan, pembinaan semula dan penyeliaan Al-Aqsa kepada pelawat ke halaman masjis suci itu.

“Kawalan polis, serta menentukan bilangan dan umur jemaah, adalah pelanggaran yang nyata terhadap status quo dan percubaan untuk memecahbelahkan Al-Aqsa antara Yahudi dan Islam,” ujarnya. 

Terdahulu, peneroka haram Israel telah menganjurkan perarakan bendera provokatif di Kota Lama, dan mengumumkan rancangan untuk melalui Pintu Damsyik dan kawasan kejiranan berhampiran walaupun berselisih pendapat dengan polis Israel mengenai perkara itu.

Dalam temu bual dengan Radio Tentera Israel, bekas ketuanya, Mossad Ephraim Halevy mengkritik sekeras-kerasnya kumpulan sayap kanan Yahudi yang terlibat dalam perarakan, mengatakan bahawa orang Yahudi tidak seharusnya dibenarkan untuk menyerbu Al-Aqsa dan menyifatkan tindakan mereka sebagai ‘kelakuan yang bercanggah dengan undang-undang Yahudi’.

Halevy berkata bahawa membenarkan perarakan bendera di Kota Lama boleh membawa kepada ‘pertumpahan darah’.

Dalam pada itu, Mahmoud Al-Habbash, pembantu Presiden Palestin Mahmoud Abbas, berkata bahawa solat di Masjidil Aqsa yang diberkati adalah hak eksklusif untuk orang Islam sahaja, dan pengawasan urusan masjid adalah tanggungjawab Awqaf Islam semata-mata, dan pendudukan dan pihak berkuasa Israel  tidak mempunyai hak untuk mencampuri urusannya.

Al-Habbash menyeru masyarakat antarabangsa untuk menamatkan standard dwi mereka terhadap Palestin dalam menghadapi pencerobohan Israel, menyeru untuk menghentikan ‘serangan kegilaan’ ke atas kota suci itu.

Beliau menyifatkan tindakan Israel terhadap Masjid Al-Aqsa dan jemaahnya, termasuk menentukan umur mereka yang dibenarkan untuk bersolat di sana, sebagai ‘kurang ajar’, serangan terhadap hak beragama umat Islam dan pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan. – Agensi

- Advertisement -