
PAS mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadab tentera rejim zionis Israel menceroboh Masjidil Aqsa dan menyerang penduduk Palestin yang berada di dalamnya.
Pencerobohan ini sewajarnya perlu diambil perhatian yang amat serius oleh Dunia Islam kerana ia telah mencemari kesucian Masjidil Aqsa apatah lagi ianya berlaku di bulan Ramadan yang mulia ini.
Tindakan ini sekali gus memaparkan sikap tidak berperikemanusiaan, perlanggaran hak asasi kemanusiaan dan perilaku apartheid rejim zionis Israel terhadap rakyat Palestin.
Insiden pencerobohan tersebut mengakibatkan lebih 152 rakyat Palestin cedera dan ratusan lagi ditangkap oleh tentera rejim zionis Israel termasuk kanak-kanak dan wanita.
Isu Palestin dan Masjidil Aqsa sudah berlanjutan lebih daripada 70 tahun dan masih tidak nampak jalan penyelesaiannya namun saban hari setiap inci bumi Palestin dimamah oleh rejim zionis Israel di samping angka korban dalam kalangan rakyat Palestin yang telah mencecah ratusan ribu orang.
Umat Islam sudah muak mendengar kenyataan kosong sama ada daripada OIC, Liga Arab mahupun PBB sendiri kerana sudah sedia maklum tidak akan diendahkan oleh rejim zionis Israel.
Masa bercakap sudah berlalu, sekarang masanya untuk bangkit bagi membantu dan membebaskan setiap inci bumi Palestin dari jajahan zionis Israel.
Justeru, sudah sampai masanya Dunia Islam perlu bertindak dengan lebih tegas dan berani bagi menyekat kezaliman zionis Israel. Dalam masa yang sama bersatu padu dan berkerjasama bagi membebaskan Masjidil Aqsa daripada cengkaman penjajahan rejim zionis Israel demi untuk kelangsungan rakyat Palestin di samping untuk menguatkan lagi penyatuan dan perpaduan seluruh Dunia Islam.
Marilah sama-sama kita mendoakan agar Allah SWT mengurniakan tsabat kepada saudara-saudara kita yang mempertahankan Masjidil Aqsa dan mengurniakan kepada Dunia Islam kepimpinan yang beriman bagi membebaskan bumi Palestin sehingga kita semua dapat menunaikan solat di Masjidil Aqsa satu hari nanti, insya-Allah. Ketahuilah masa ini tersangat hampir dengan izin Allah!

Islam Menyatukan Umat
YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 16/4/2022




















