
Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
KOTA BHARU: Tabung Kebajikan dan Sosial Rakyat (Taksir) yang ditubuhkan selepas pilihan raya umum (PRU) 2008 dinaik taraf kepada Yayasan Dato’ Che Abdullah al Lambori.
Pengasasnya, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata usaha itu sebagai kesinambungan kepada kerja dilakukan sejak dipilih sebagai wakil rakyat.
Beliau berkata fokus utama penubuhan yayasan itu bukan hanya memberi tumpuan kebajikan golongan miskin sahaja, malah menyediakan pembiayaan pendidikan untuk pelajar miskin.
“Kerana keyakinan saya sangat tinggi untuk kita memartabatkan bangsa untuk kita jaga negara, saya yakin pendidikan merupakan perkara utama yang perlu diberi tumpuan.
“Harapan saya agar yayasan ini terus berbakti kepada masyarakat selepas ketiadaan nanti saya harap sahabat saya anak-anak saya akan terus menyambung usaha ini,” katanya pada majlis pelancaran yayasan itu oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Mastura Mohd Yazid di Hotel Perdana di sini semalam.
Hadir sama isteri menteri besar Datin Bentara Kanan Siti Zabidah Abdul Hamid; Adun Wakaf Bharu Mohd Rusli Abdullah dan isteri almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak.
Pada majlis itu Mastura turut memberi sumbangan sebanyak RM10,000 kepada yayasan itu membantu golongan sasaran.
Terdahulu lebih 200 anak yatim dan penduduk miskin dari Tumpat diraikan pada majlis berbuka puasa dan penyerahan bantuan kepada mereka.
Che Abdullah yang juga ahli parlimen Tumpat turut mengimbau kenangan program al it’am dilaksanakan di Dun Wakaf Bharu mendapat perhatian kerajaan apabila dilaksana di peringkat negeri.
Beliau berkata penubuhan Taksir selepas dipilih sebagai wakil rakyat Dun Wakaf Bharu digunakan sepenuhnya bagi membantu golongan miskin di kawasan itu.
Katanya Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah memintanya untuk membuat cadangan bagi melaksanakan bantuan beras percuma secara bulanan di 45 Dun.
Menurutnya juga beliau pernah berjanji semasa kempen PRU 2008 untuk menyerahkan semua elaun sebagai wakil rakyat bagi menjaga kebajikan rakyat sehingga Taksir ditubuhkan.
Bahkan program al It’am terus dilaksanakan sehingga sekarang di bawah pentadbiran Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob dengan beberapa penambahbaikan.
“Taksir ini kita dapat adakan pelbagai program bantuan dan dari situ saya mempunyai cita-cita supaya ia dikembangkan dan yayasan merupakan sasarannya.
“Matlamat saya untuk menubuhkan yayasan dan alhamdulillah hari ini ia dilancarkan bagi kita buat kerja kebajikan dengan lebih baik lagi kepada rakyat yang memerlukan,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/4/2022




















