
Oleh EVA NATASHA SADALI
SHAH ALAM: Tidak ada mana-mana parti yang boleh mentadbir secara solo di negara ini, kata Ahmad Fadhli Shaari.
Menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia itu, setiap parti perlu menerima hakikat serta realiti sebenar landskap politik negara ketika ini.
“Perlu ada gabungan dari parti-parti politik untuk mentadbir negara,” katanya ringkas.
Beliau berkata demikian kepada media di Majlis Iftar Perpaduan Dewan Pemuda PAS Malaysia di Mardhiyyah Hotel and Suites, Seksyen 14, di sini, malam tadi.
Sehubungan itu, beliau tidak menafikan pihaknya masih membuka ruang kerjasama dengan mana-mana pihak menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Ruang kerjasama masih lagi wujud buat masa sekarang, PAS berada di dalam PN, jadi saya fikir kerjasama itu akan wujud pada peringkat Perikatan Nasional (PN), kerjasama itu akan berlaku dan sebagainya,” katanya ketika diminta mengulas mengenai peluang kerjasama antara PAS dengan mana-mana parti politik menjelang PRU15.
Bagaimanapun ujar Ahli Parlimen Pasir Mas itu, segala pertimbangan akan diserahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi untuk membuat keputusan.
Dalam pada itu, Ahmad Fadhli turut mengulangi pendirian bahawa kerjasama pihaknya dengan Umno melalui Muafakat Nasional (MN) masih utuh.
“Setakat ini MN belum lagi mati dan tidak ada sesiapa yang mengisytiharkan MN telahpun tamat.
“Umno pun tidak isytiharkan dalam Perhimpunan Agung mereka (untuk bubarkan MN) jadi walau apa jua yang berlaku sekalipun, kita akan lihat apakah yang terbaik untuk demi kebaikan negara,” jelasnya.
Majlis iftar yang merupakan acara tahunan tersebut dianjurkan Dewan Pemuda PAS Selangor dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Malaysia bersama bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam untuk merapatkan jurang dan perbezaan dalam agama serta bangsa. – HARAKAHDAILY 12/4/2022




















