
Oleh EVA NATASHA SADALI
SHAH ALAM: PAS merupakan antara entiti terawal yang mengemukakan cadangan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.
Oleh yang demikian, tidak pernah timbul isu PAS tidak bersetuju dengan pindaan berkenaan, kata Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Fadhli Shaari.
“PAS terlebih awal mengemukakan cadangan anti lompat parti ini pada tahun 1992 di Kelantan.
“Kelantan di bawah pentadbiran PAS telahpun membentangkan dan meluluskan enakmen anti lompat parti di negeri itu tetapi ia terbatal kerana bertentangan dengan Perkara 10 dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Selepas daripada itu, kita menjadi mangsa lompat parti ketika PAS sebahagian daripada Pakatan Rakyat dan ketika kerajaan Perak jatuh pada tahun 2009 pun pada masa itu akibat lompat parti,” katanya kepada media di Majlis Iftar Perpaduan Dewan Pemuda PAS Malaysia di di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut mengenai Perlembagaan Perkara 10(3) yang akan dipinda itu, Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, akta berkenaan perlu diperhalusi dengan lebih terperinci berhubung definisi sebenar anti lompat parti tersebut, sebelum digubal kepada RUU.
“Kita mahu supaya definisi itu diperhalusi sehingga ada yang menyatakan ia perlu diimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Tetapi bagi kami di peringkat PAS sendiri, kami menyatakan bahawa perlembagaan tidak boleh mentafsirkan dengan begitu terperinci sebab perlembagaan adalah dasar serta polisi, ia tidak boleh diterangkan secara terperici, kalau nak teliti kena masuk dalam akta.
“Perkara sama turut dinyatakan oleh pembangkang,a hli parlimen mereka berbahas seorang demi seorang dan mereka menyatakan persetujuan terhadap akta berkenaan, cuma apa yang tinggal adalah apakah penjelasannya dan perinciannya perlu diperhalusi sebelum dipinda,” jelas beliau.
Ujar beliau, pihak pembangkang turut bersetuju untuk meminda akta tersebut dalam sidang khas Parlimen pada Mei depan.
“Jika diluluskan RUU itu pada hari ini, ia masih memerlukan kepada suatu akta yang berasingan untuk menjelaskan satu persatu berkenaan dengan lompat parti.
“Jadi bagi pihak ahli-ahli Parlimen khususnya daripada pembangkang, mereka menyatakan kenapa tidak kita luluskan sekaligus dalam sidang khas bulan Mei ini, sekali gus berkenaan dengan pindaaan perlembagaan dan juga akta yang berkaitan,” tambahnya.
Sementara itu dalam majlis sama, Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, beliau turut menyokong penuh usaha bagi meminda rang undang-undang berkenaan.
Beliau mengharapkan agar mana-mana pihak sama ada kerajaan atau parti politik tidak menyalahgunakan akta berkenaan sekiranya ia berjaya dipinda.
“Kita tak mahu mana-mana pihak menzalimi ahli-ahli parlimen yang ditendang keluar daripada parti akibat tidak bersetuju dengan hala tuju parti yang mana hal itu bertentangan dengan undang-undang negara.
“Sepertimana yang berlaku terhadap Tan Sri Muhyiddin Yasiin, beliau bercakap perkara yang benar tentang hak, skandal 1MDB sebab itu beliau dibuang daripada parti,” ujarnya.
Majlis iftar yang merupakan acara tahunan tersebut dianjurkan Dewan Pemuda PAS Selangor dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Malaysia bersama bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam untuk merapatkan jurang dan perbezaan dalam agama serta bangsa.
Hampir 20 NGO, persatuan dan individu berpengaruh dijemput ke majlis berkenaan yang turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti kuiz dan sesi dialog. – HARAKAHDAILY 12/4/2022




















